BELAGA, 5 Dis : Pelaksanaan sistem tagang untuk menternak ikan air tawar sebelum ini terbukti berkesan dalam meningkatkan pendapatan pengusaha kegiatan berkenaan.
Menyedari keadaan semula jadi di Sungai Dangan yang sesuai untuk ‘dibangunkan’ sistem berkenaan, pemilik sebuah inap desa di sini, tidak menunggu lama untuk merebut peluang terhidang.
Pengurus Rumah Inap Desa Sungai Dangan, Joseph Unek berkata, dia mendapat idea untuk ‘membawa’ sistem tagang di kawasan itu setelah berkunjung ke Ranau, Sabah dan Tasik Kenyir, Terengganu.
“Saya melawat dua tempat itu sebelum wabak COVID-19 melanda dan apabila pulang ke sini, saya mula berusaha untuk menjaga dan memelihara ikan yang sudah ada di sungai ini,” katanya ketika ditemui TVS di sini baru – baru ini.
Sebagai permulaan, Joseph berkata, dia membeli ‘benih’ anak Ikan Empurau, Ikan Semah dan Ikan Labang beberapa bulan lepas untuk dilepaskan di sini selain bertujuan sebagai penyelidikan.
Pada masa sama, dia turut melihat potensi pelancongan di kawasan berkenaan apabila semakin ramai pelancong ‘luar’ masuk ke kawasan itu.
” Saya berjaya menyiapkan rumah berkonsep inap desa yang mempunyai 10 bilik dan boleh ditawarkan sebagai penginapan kepada pelancong,” katanya.
Joseph berkata, ketika masa ‘terluang’ akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia melaksanakan kerja – kerja pembinaan berkenaan.
“Semasa kita diarahkan untuk ‘kuarantin’, saya ambil keputusan untuk tinggal di kebun dan mula membina rumah ini ,” katanya. -TVS