Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Perkhidmatan p-hailing dapat sambutan panas di Kapit

BySteward Dawi

KAPIT, 4 Dis: Walaupun tidak sampai dua bulan perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) beroperasi di Bandar Kapit permintaan menggunakan perkhidmatan ini dilihat mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan tempatan.

Hasil tinjauan krew TVS mendapati rata-rata pengusaha kedai makan dan restoran di sekitar bandar Kapit sudah mula berjinak-jinak menggunakan perkhidmatan p-hailing ini.

Menurut pengusaha Restoran Selera Kampung Kak Eda Cafe, Rossidah Ayub, perkhidmatan ini memudahkan pelanggan memesan makanan tanpa perlu datang ke kedai terutamanya bagi golongan yang bekerja.

“Perkhidmatan ini masih baru di Kapit dan memberi kebaikan kepada kami sebagai pengusaha restoran dan juga pelanggan yang hanya perlu memesan makanan melalui aplikasi yang disediakan.

“Mereka tidak perlu datang atau makan ke ke kedai makanan atau restoran terutamanya bagi mereka yang bekerja,” katanya ketika ditemui pemberita TVS pada Jumaat.

Jelas Rossidah, ini menjimatkan masa pelanggan kerana makanan yang dipesan akan terus dihantar ‘rider’ ke rumah atau pejabat.

Selain itu, katanya, perkhidmatan ini juga memudahkan warga emas membeli makanan tanpa perlu keluar dari rumah.

“Disebabkan sekarang kita masih mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) COVID-19, ada sesetengah masyarakat tidak mahu keluar makan ke kedai.

“Mereka boleh memesan makanan yang ingin dimakan hanya menggunakan telefon dan mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19.

“Hasil pendapatan kami sebagai pengusaha restoran juga semakin bertambah,” jelasnya.

Ujarnya, mereka yang bekerja di restoran juga boleh memesan makanan dari kedai lain kerana kesibukan bekerja menyebabkan masa terhad untuk mereka keluar membeli makanan ke tempat lain.

Bagi pengusaha Restoran Malindo Cafe Muslim Food, Nur Syafiqah Mahmmud, dengan adanya perkhidmatan seperti ini dapat meluaskan lagi perniagaan makanan di restoran.

“Walaupun pelanggan di Kapit baru belajar menggunakan aplikasi p-hailing tetapi mereka sudah semakin membiasakan diri dan kami setakat ini sudah mula menerima banyak pesanan,” katanya.

Nur Syafiqah turut berkongsi pengalamannya semasa kali pertama menggunakan perkhidmatan ini yang agak mengambil masa untuk membiasakan diri.

“Pada mulanya agak susah dan mencabar. Kita perlu belajar macam mana cara menerima pesanan dan perlu menyediakan makanan yang dipesan dengan cepat.

“Kita juga mesti memastikan bungkusan makanan yang dihantar ‘rider’ dalam keadaan baik dan selamat sampai ke pelanggan,” jelasnya.

Tambahnya, hampir setiap hari restorannya itu penuh dengan kehadiran pelanggan tetap dan melalui perkidmatan p-hailing ini pelanggan tidak perlu menunggu giliran atau beratur menunggu terlalu lama untuk mendapatkan tempat duduk.

“Dalam sehari kadang-kadang kita dapat menghantar 20 bungkusan makanan atau lebih kepada pelanggan menggunakan perkhidmatan ini.

“Makanan yang dipesan itu terdiri daripada menu yang pelbagai mengikut cita rasa pelanggan,” tambahnya.

Berita Berkaitan

No data was found

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan

No data was found