KUCHING, 5 Dis : Strategi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempertaruhkan calon baharu dan muda yang berusia antara 30 hingga 40 tahun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak diyakini akan diterima oleh rakyat.
Penganalisis politik tempatan, Dick Lembang Dungun berkata, ia sekaligus akan memberi impak yang besar kepada landskap politik Sarawak.
Menurutnya, keputusan meletakkan dua anak muda di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu iaitu Azizul Annuar Adenan, 30, dan calon di DUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, 33, menunjukkan pembaharuan yang dibawa GPS.
“Saya rasa penerimaan rakyat di kawasan tersebut tidak ada masalah, mereka akan terus mendokong dan menyokong calon-calon ini nanti,” katanya.
Berhubung sokongan rakyat di kerusi – kerusi Dayak pula, Dick Lembang berkata, ia akan dinilai bersandarkan karisma pada setiap calon yang ditampilkan.
Ini kerana katanya, tidak ramai calon muda diketengahkan sebaliknya kebanyakan daripada golongan veteran.
“Saya menjangkakan bersandarkan kepada kredibiliti untuk mereka (diterima pengundi) dan bagaimana mereka menyantuni masyarakat pada peringkat akar umbi akan memberi kesan kepada sokongan pengundi di kawasan tersebut,” katanya.
Justeru, Dick Lembang yakin , dalam tempoh lima tahun akan datang, PRN Sarawak dijangka akan menyaksikan lebih ramai golongan muda diketengahkan sebagai calon.
Katanya ia secara tidak langsung akan mewujudkan gabungan orang muda dan senior pada peringkat pembuat dasar serta segala pelaksanaan untuk kepentingan Sarawak.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Abang Openg sebelum ini berkata, semua calon muka baharu terbabit akan didedahkan dengan ‘politik ala Sarawak’ bagi melengkapkan mereka sebagai pemimpin masa depan.
“Politik ala Sarawak ini memperjuangkan masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan keturunan. Landskap politik Sarawak ini hanya orang Sarawak yang tahu, sebab itu kita memilih tema ‘Sarawak First’ dan ia akan didedahkan kepada calon-calon muka baru ini,” katanya. -TVS