KUCHING, 4 Dis: Calon muda yang diketengahkan dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 Sarawak (PRN12) dilihat berpotensi diangkat menjadi pelapis pemimpin yang akan memberi kesinambungan kepada pucuk pimpinan negeri Sarawak pada masa akan datang.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata gabungan pemimpin lama dan baharu merupakan satu proses yang terbaik bagi tujuan berkenaan.
“Kalau kita tukar semua (calon), saya percaya tidaklah begitu baik juga. Ia memerlukan kesinambungan dan proses perubahan.
“Saya yakin calon-calon yang telah diketengahkan akan mendapat kemenangan dan GPS (Gabungan Parti Sarawak) akan dapat menerajui negeri Sarawak dan kita akan dapat meneruskan agenda-agenda yang telah dijalankan sebelum ini termasuk pembangunan dan keharmonian kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media Drama Muzikal Putri Santubong di Kampung Budaya Sarawak pada Sabtu.
Seperti yang sudah disebut-sebutkan sebelum ini bahawa ada lebih kurang 20 ke 30 peratus pertukaran calon akan dilakukan, jelas beliau, GPS menepati janji.
“Calon yang kita ketengahkan itu adalah seperti apa saya katakan, boleh membawa perubahan kepada Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi,” jelas Abdul Karim.
Menjawab persoalan strategi yang bakal dilaksanakan bagi PRN12, Abdul Karim yang merupakan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya berkata beliau akan menggunakan kesemua medium yang ada sama ada secara atas talian mahupun konvensional.
“Untuk kawasan-kawasan yang mana kita dapat berhubung dengan pengundi dan rakyat melalui media sosial, kita akan berhubung melalui platform berkenaan tetapi untuk tempat-tempat yang tidak dapat dihubungi secara atas talian, kita boleh menggunakan rakyat tempatan dalam kampung-kampung untuk pergi menziarahi ahli keluarga di kampung,” kata Abdul Karim. -TVS