KUCHING, 5 Dis : Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak memerlukan ‘campur tangan luar’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak ini, kerana pemimpin-pemimpinnya berkemampuan untuk memperolehi kepercayaan rakyat Sarawak.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) , Datuk Seri Mohamad Hassan berkata , sehubungan itu BN tidak akan menurunkan jenteranya di sini.
“Bagaimanapun jika ada keperluan untuk beberapa orang pemimpin BN turun membantu, kami akan sentiasa ada di sini tetapi buat masa ini, tidak, kerana kami rasakan kepimpinan GPS adalah terbaik untuk mengendalikan PRN ini dan mendapat kepercayaan daripada rakyat Sarawak sendiri,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut dihadiri oleh Naib Presiden UMNO , Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Mohamed berkata, kunjungan pemimpin-pemimpin BN ke Sarawak bertujuan memberikan sokongan moral kepada Ketua Menteri , Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan GPS menghadapi PRN Sarawak ke-12.
Beliau berkata BN secara rasmi tidak akan menyertai PRN Sarawak buat pertama kali.
“Saya berharap rakyat negeri Sarawak dapat memberikan mandat yang besar kepada parti GPS semasa PRN akan datang. Kestabilan perlu ada jika kita hendak pembangunan dan kemakmuran,” katanya.
Mohamad turut menegaskan penggunaan bendera dan logo Dacing BN tidak dibenarkan dalam kempen PRN Sarawak.
BN menurut beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya terdapat parti politik atau mana-mana individu menggunakan lambang parti itu dalam kempen PRN di Sarawak.
“Selain daripada GPS, kita tidak ada parti yang mesra BN. Jadi kita tidak membenarkan sesiapa pun menggunakan lambang Dacing, kerana BN tidak bertanding,” katanya.
SPR telah menetapkan hari penamaan calon pada 6 Disember ini, pengundian awal pada 14 Disember manakala hari pengundian pada 18 Disember. -TVS