Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Anugerah Tinta Kenyalang galak minat terhadap karya kreatif, lahir penulis prolifik

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 3 Dis: Dahulunya dikenali sebagai Majlis Penyampaian Hadiah Penulisan dan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak telah diberikan nama yang baharu, iaitu Anugerah Tinta Kenyalang.

Merupakan inisiatif Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak bagi mewujudkan sebuah majlis yang boleh dijadikan penanda aras dan berprestij buat-buat penulis Bumi Kenyalang.

Justeru, DBP Sarawak sekali lagi menganjurkan Majlis Anugerah Tinta Kenyalang 2021 dan Malam Lestari Bahasa 2021 pada 3 Disember 2021, bertempat di Hilton Hotel, Kuching.

Kemeriahan majlis anugerah diserikan dengan kehadiran Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr. Annuar Rapa’ee dan Ketua Pengarah DBP Cawangan Sarawak Haliman Abang Julai.

Menurut pengarahnya, sepanjang tempoh berdepan dengan pandemik COVID-19,  DBP Sarawak tetap merancang serta meneruskan pelaksanaan beberapa projek dengan mengamalkan norma baharu seperti yang telah disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pelbagai program seperti Bengkel yang merangkumi bidang seperti Penulisan, Bahasa, Sastera telah dijalankan oleh DBP Sarawak. Selain itu, penganjuran Syarahan Perdana, Seminar, Bicara dan Wacana Ilmu berkaitan dengan Kearifan Tempatan Negeri Sarawak yang dilaksanakan secara dalam talian dan bersemuka telah mendapat sambutan yang cukup baik,” kata beliau dalam ucapan alu-aluanya sempena majlis itu berlangsung.

Beliau juga berkesempatan mengucapkan tahniah kepada seorang penulis kelahiran Bumi Kenyalang kerana telah diberikan pengiktirafan oleh Kerajaaan Negeri Sarawak sebagai Sasterawan Negeri Sarawak yang ke-5 dalam Majlis penyampaian Anugerah Sastera Negeri Sarawak ke-10.

“Tahniah kepada Saudara Zainal Abidin Suhaili atau dikenali sebagai Abizai. Anugerah ini telah dikurniakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud,” katanya lagi.

Sementara itu, Dr Annuar Rapa’ee berkata majlis sebegini perlu terus disokong dan dihargai agar dapat meneruskan kelangsungan karya dalam dunia penulisan di negeri Sarawak sehingga diiktiraf di peringkat nasional.

“Perlu diakui bahawa menulis bukan sesuatu tugas yang mudah dan memerlukan bimbingan agar dapat menghasilkan karya yang mampu membentuk pemikiran membaca,” ujar beliau.

Tegasnya lagi, kerajaan sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk aktiviti intelektual yang menjurus kepada proses pemugaran budaya pengkaryaan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Pelbagai sayembara dan bengkel penulisan yang bertujuan untuk mencungkil bakat baharu perlu digiatkan demi membina generasi pelapis kepada karyawan mapan yang sekian lama mewarnai persada penulisan di Sarawak,” katanya lagi.

Didahului dengan penyampaian anugerah bagi Sayembara Penulisan Kreatif (Sajak) Kategori Umum yang bertemakan isu yang melanda seluruh dunia, iaitu penularan COVID-19, Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak 2021 dimenangi oleh SMK Baru,Miri  , Hadiah Sastera Penulis Sarawak 2020/2021 dimenangi oleh Roslan Jamel bagi kategori cerpen, Zainal Abidin Subaili bagi kategori puisi dan Dilah Tuah bagi kategori Esei Kritikan. Hadiah Sastera Tunas Sarawak 2020/2021 dimenangi oleh  Faizal Jarawi bagi kategori cerpen dan Adhwa Muhayiddin Adli bagi kategori puisi.

Bagi Hadiah Sastera Penulis Sarawak (HSPS), ia terbahagi kepada Kategori Puisi, Cerpen dan Esei dan setiap kategori dimenangi lima pemenang yang masing-masing membawa pulang RM700, Buku Iringan dan sijil setiap seorang (Puisi) serta RM1,000, Buku Iringan dan sijil setiap seorang (Cerpen dan Esei).

Selain itu, DBP juga menyampaikan sijil penghargaan kepada beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang banyak membantu serta tidak ketinggalan kepada media-media tempatan, TVS dan Utusan Borneo, sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan selama ini.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan