Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Abang Sado, sang ‘doktor kasut’ di Pasar Teresang

BySteward Dawi

KAPIT, 2 Dis : Dari kejauhan , kelihatan seorang lelaki sasa atau popular digelar ‘Abang Sado’ sedang tekun membaiki kasut pada satu lot niaga dalam Pasar Teresang di sini.

Setelah didekati wakil TVS, dia ‘bermurah hati’ meluangkan masa berharganya untuk ditemubual dan berkongsi cerita.

Memperkenalkan diri sebagai Sumahady Othman, 52 , sebenarnya lebih separuh usianya telah dihabiskan untuk membaiki kasut.

“Saya mempunyai minat yang mendalam terhadap kasut dan berkemahiran untuk menjahit serta membaiki kasut. Namun demikian, ini bukanlah kerja tetap kerana saya bertugas sebagai pengawal keselamatan di tempat lain,” katanya.

Di sebalik fungsi pasar basah sebagai tempat untuk mendapatkan bekalan makanan, Sumahady berkata, ‘gerainya’ tetap menjadi tumpuan pengunjung yang mahu mendapatkan khidmat membaiki kasut rosak.

” Setakat ini , permintaan daripada pelanggan yang menghantar kasut dan selipar semakin bertambah selepas pembukaan semula kegiatan ekonomi.

“Kadang-kadang saya tidak menang tangan untuk membaiki kasut mereka sehingga terpaksa meminta lanjutan tempoh masa,” katanya.

Sumahady berkata, kerja membaiki kasut ini dilakukan pada hari dia tidak bekerja atau mempunyai masa terluang.

” Dalam sehari hasil pendapatan saya ialah sekitar RM50 hingga RM150 mengikut kepada jumlah kasut dan selipar yang dapat dibaiki,” katanya.

Ditanya mengenai masa yang diambil untuk membaiki sebelah atau sepasang kasut, katanya ia bergantung kepada jenis kasut namun kebiasaannya dapat menyiapkan tempahan membaiki dalam tempoh 20 minit hingga setengah jam.

“Berkenaan caj yang dikenakan pula, untuk kasut kulit saya mengambil upah RM35 sepasang, kasut sukan RM18 dan selipar RM14 sepasang,” jelasnya.

Berkongsi tentang cabaran pula, Sumahady berkata ia merupakan perkara untuk melayan pelbagai karenah pelanggan namun harus bersabar terutamanya dengan pelanggan tetap.

Seperti kebanyakan orang lain yang terjejas berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini , ‘Abang Jaga’ ini turut mengakui perkhidmatan yang disediakan turut terkena tempias apabila pelanggan kurang menghantar kasut untuk dibaiki.

Berbicara lanjut, Sumahady berkata, dia berharap agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat membantunya untuk meluaskan perniagaan.

” Ini kerana saya melihat peluang untuk membaiki kasut dan selipar di Kapit sentiasa terbuka kepada mereka yang berminat sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa,” katanya.

Pada masa sama, dia turut menggalakkan golongan belia yang masih tidak pasti tentang hala tuju supaya menceburi bidang ini kerana tidak modal besar serta sangat mudah diuruskan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan