SERIAN, 2 Dis : Di sebalik isu kenaikan harga sayur – sayuran import, harga sayur tempatan atau ‘sayur kampung’ masih terkawal.
Tinjauan TVS ke Pasar Tamu Serian di sini mendapati harga bagi sayur -sayuran kampung seperti pucuk midin, pucuk paku dan terung asam masih lagi dijual secara berpatutan.
Seorang peniaga, Yee Kee Tong berkata, kebanyakan sayur – sayuran yang ‘terkesan’ adalah yang diimport.
” Selain itu, agak sukar untuk mendapatkan stok sayur import seperti kobis bulat China yang terhad. Saya terpaksa menaikkan harga berbanding biasa dan mengalami kerugian.
“Bagaimanapun untuk sayur tempatan masih lagi dijual pada harga biasa,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Ka Lamok berkata, situasi harga sayur yang ‘tidak stabil’ merupakan perkara biasa kerana ia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti cuaca dan juga kos bahan.
“Ada masa harga (sayur) naik, ada masanya ia turun. Ia juga bergantung kepada harga pasaran semasa baja tumbuh-tumbuhan yang digunakan,” kata Lamok.
Penjual sayuran hutan, Asmail Kipli, jualan beliau tidak mengalami sebarang perubahan harga.
Jelasnya, harga sayur-sayuran hutan seperti midin dan pucuk paku tidak meningkat kecuali semasa musim kemarau.
Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan sayur-sayuran import seperti kubis bulat China dan tomato kini mengalami kenaikan harga sebanyak 10 hingga 20 peratus berikutan musim sejuk di China serta isu logistik.
Sayuran tempatan seperti kacang panjang dan cili turut mengalami kenaikan harga yang sama.
Pihak masa sama, kementerian itu turut memberi jaminan bahawa anggota penguatkuasanya akan terus melaksanakan pemeriksaan bagi memastikan harga sayur-sayuran di pasaran masih berpatutan dan supaya peniaga tidak mengambil kesempatan situasi semasa. – TVS