BAU, 2 Dis : Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa, Industri Terminal Dan Pembangunan Usahawan, Datuk Naroden Majais menggesa setiap peniaga mengubah persepsi salah bahawa sekiranya mendaftarkan peniagaan , mereka akan dikenakan cukai.
Jelasnya, tindakan sedemikian hanya akan merugikan peniaga kerana tidak berpeluang untuk menikmati segala bentuk bantuan dan kursus-kursus yang disediakan oleh agensi kerajaan.
“Pendaftaran yang dibuat akan memudahkan urusan permohonan geran yang mampu memanfaatkan para usahawan untuk mengembangkan perniagaan.
“Setiap bakal usahawan harus faham kenapa mendaftar amat penting bagi mereka. Banyak orang salah faham , kononnya apabila mendaftar syarikat, mereka akan dikenakan cukai, itu tidak betul,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jum Regista Bisnes Sarawakku Sayang di sini hari ini.
Jelas Naroden, setakat ini seramai 80,000 usahawan telah mendaftar perniagaan di Sarawak manakala lebih 40,000 masih belum berbuat demikian.
Sebelum ini, ujar Naroden, kerajaan Sarawak telah membelanjakan sebanyak RM5.3 bilion di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0 hingga 7.0 bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata, penting bagi masyarakat didedahkan dengan ilmu mengenai perniagaan supaya mereka boleh memanfaatkan peluang yang ada untuk berkembang.
” Kebanyakan kaum Bumiputera agak keberatan untuk berkecimpung secara serius dalam bidang perniagaan. Inilah peluang dan ruang yang diberikan oleh kementerian dan harus diguna pakai sepenuhnya,” jelasnya.
Sementara itu, Miro mendedahkan, beliau telah membelanjakan lebih kurang RM2 juta dari peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) selama tempoh lima tahun sebagai wakil rakyat. -TVS