SPAOH , 30 Nov : Sarawak ‘berminat’ menyertai industri penerbangan dengan merancang untuk menubuhkan syarikat penerbangannya sendiri.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah berkenaan wajar dilaksanakan bagi tujuan memenuhi ketersambungan atau “connectivity” yang diperlukan negeri ini dan seterusnya memacu sektor pelancongan tempatan.
Katanya, sekiranya perancangan berkenaan berjalan lancar, syarikat penerbangan Sarawak itu kelak hanya akan menumpukan kepada hab strategik sahaja melibatkan destinasi terpilih.
” Kita ke Singapura, Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta atau Hong Kong. Ini membolehkan negeri ini ‘membawa’ pelancong masuk sendiri tanpa perlu bergantung dengan syarikat penerbangan lain,” katanya.
![](https://s3.tvstv.my/wp-content/uploads/2021/11/FW1207776_SK05_30112021_SPAOH-1024x683.jpg)
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, sebagai permulaan, negeri ini tidak memerlukan sebuah syarikat penerbangan bertaraf gergasi namun lebih kepada menyediakan perkhidmatan penerbangan laluan terus sekaligus menawarkan pilihan kepada pelancong.
” Pelancong lebih gemar penerbangan terus tanpa perlu transit. Sebelum ini katakan pelancong dari Hong Kong mahu datang ke Sarawak, mereka terpaksa ke Kuala Lumpur dahulu, ini agak melecehkan,” katanya.
Ditanya bila perancangan berkenaan akan direalisasikan, Abang Johari secara bergurau mengatakan, ia mungkin akan dimulakan selepas beliau dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mendapat mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak. -TVS