Hujung minggu lalu, penulis berkesempatan ‘menjelajah’ beberapa bahagian di Sarawak selepas 25 hari ‘terkurung’ di Bandar raya Kuching.
Ini merupakan kunjungan kali pertama di Bumi Kenyalang dalam tempoh lebih 30 tahun.
Kehidupan di Kuching tidak banyak berbeza dengan bandar – bandar utama di Semenanjung, meriah dan sangat membangun.
Bersama seorang rakan yang berasal dari Kota Samarahan yang bekerja di Semenanjung dan pulang bercuti di sini, kami menuju ke kawasan yang dikenali sebagai ‘ekor Sarawak’ iaitu Kilometer (KM) 0.0 Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak.
Satu pengalaman baharu bagi penulis apabila berkesempatan ‘menggunakan’ LBP Jajaran Telok Melano ke Sematan yang sudah siap, cuma perlu ‘bersabar’ sedikit apabila tiba di Bau.
Ini kerana pembinaan sedang rancak berlangsung, difahamkan sudah mencapai kemajuan lebih 75 peratus seperti dinyatakan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof baru – baru ini.
Ketibaan di Teluk Melano agak mengujakan penulis kerana permandangan pantainya yang cantik, air laut membiru dan sinaran matahari membahang mengalu – alukan kehadiran pelawat.
Memandangkan situasi COVID-19 yang masih membelenggu, kunjungan orang ramai di sini tidaklah begitu sesak namun tempat itu hidup.
Penduduk tempatan menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi seperti mengusahakan kedai makan dan menyediakan perkhidmatan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) untuk bersiar – siar di sepanjang pantai.
Sebelum pandemik membadai, penulis difahamkan, pelancong boleh ‘masuk’ ke Indonesia menerusi pintu di kawasan berhampiran namun aktiviti berkenaan kini digantung sementara waktu.
Penulis percaya sedikit masa lagi, kawasan pantai di Teluk Melano ini akan ‘lebih meletup’ kerana laluan ke sana kini lebih mudah, ibarat menggunakan Lebuh Karak dari Kuala Lumpur ke Teluk Chempedak di Kuantan Pahang.
Memandangkan aksesnya lebih mudah, tidak mustahil pelancong dari Semenanjung akan ‘masuk’ ke sini dan pastinya mahu bergambar bersama papan tanda KM0.0 untuk diabadikan di media sosial.
Berbalik kepada ‘pengembaraan’ ke Teluk Melano, apa yang penulis perhatikan, ‘perang bendera’ sudah mula menampakkan tanda, sesuai dengan mood Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak yang semakin hampir.
Di sekitar Tanjung Datu, ribuan bendera putih milik Gagasan Parti Sarawak (GPS) sudah mula berkibar di sepanjang jalan, memberi petanda mereka sudah bersedia.
Lebih menarik, penduduk di sekitar Tanjung Datu, Kampung Sekambal, Kampung Pugu dan Lundu begitu bersemangat mempamerkan sokongan moral kepada GPS.
Ratusan rumah dan puluhan kedai ‘tanpa segan’ menggantung bendera GPS, membuktikan betapa mereka memberi sokongan moral kepada gabungan yang kini menjadi Kerajaan Sementara Sarawak.
Mengimbas kembali keputusan PRN 2016 lalu, sememangnya beberapa kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Opar, Tanjung Datu, Tasik Biru dan Pantai Damai semuanya disapu oleh wakil – wakil GPS dengan majoriti melebihi 1,000.
Paling besar ialah majoriti yang diraih Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi di Pantai Damai iaitu hampir mencecah 10,000. Tidak ketinggalan DUN Tanjung Datu yang pada 2016 ditandingi oleh bekas Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Dr Adenan Satem yang menang dengan majoriti hampir 6,000 dan berjaya menghilangkan deposit wakil PKR.
Sepanjang jalan juga, penulis mendapati tidak ada sehelai pun kibaran bendera PKR, DAP , PAN dan Pas yang pernah bertanding di situ sebelum ini.
Tidak tahulah jika parti – parti politik berkenaan telah tukar strategi sebelum kempen rasmi dimulakan. Yang kelihatan ialah bendera sebuah parti tempatan iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB) namun ‘warna merah’ mereka gagal menutupi deretan bendera putih milik GPS.
Penulis percaya selepas penamaan calon pada 6 Disember depan, suasana lebih meriah pasti dapat disaksikan di keseluruhan negeri ini.
Jangan lupa untuk dapatkan perrkembangan terkini PRN Ke-12 Sarawak menerusi saluran 122 Astro dan MYTV serta semua platform media sosial kami untuk perkembangan terkini #sarawakdecides #tvs