Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Pertelingkahan parti pembangkang bukti mereka pentingkan diri dan kuasa

KUCHING, 29 Nov : Pertelingkahan antara parti pembangkang mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ingin ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke -12 Sarawak membuktikan mereka hanya mementingkan diri dan kuasa daripada menjaga kebajikan dan hak rakyat Sarawak.

Naib Yang Dipertua Kanan , Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, hal tersebut secara tidak langsung menunjukkan ketidakcekapan dan kurangnya kestabilan politik di pihak pembangkang  yang tercetus sejak PRN Ke -11 Sarawak lagi.

“Atas faktor inilah , rakyat Sarawak memerlukan sebuah kerajaan yang kuat, bersatu, stabil dan cekap. Pada masa sama, sebuah kerajaan yang dapat membuktikan ia mampu menghormati hak semua suku kaum dan agama,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Sehubungan itu, ujar Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, situasi ‘huru -hara’ yang dialami pakatan pembangkang menyebabkan Gabungan Parti  Sarawak (GPS) menjadi pilihan yang tepat bagi semua rakyat Sarawak dalam PRN yang akan datang.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, GPS komited dalam meneruskan matlamat dan perjuangan pemimpin terdahulu, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang mahukan Sarawak muncul sebagai negeri yang maju, harmoni dan memelihara hak – hak rakyatnya.

“Contohnya deklarasi bersama antara Allahyarham dengan Kerajaan Persekutuan pada 2015 yang menyatakan sistem pengangkutan akan bebas tol dan perkhidmatan feri juga percuma,” katanya.

Menurut beliau, perjanjian itu bukan sekadar omongan kosong apabila pada 2016 Kerajaan Sarawak menunaikan janji dengan memansuhkan kesemua tol.

Tambah beliau, keupayaan menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo yang juga bebas tol secara berperingkat juga membuktikan GPS sentiasa mengutamakan rakyat Sarawak.

“Di samping itu, projek pembinaan beberapa buah jambatan turut dilaksanakan untuk keselesaan rakyat Sarawak selain mengambil alih projek Empangan Bakun daripada Kerajaan Pesekutuan  pada 2017 dengan kadar harga yang menguntungkan Sarawak,” katanya.

Menurut Fadillah, kejayaan berkenaan menunjukkan Sarawak berjaya mengambil semula ‘tanahnya’.

“Hasil pengambilan semula itu, Sarawak kini dapat mengawal penghasilan tenaga elektriknya sendiri dengan harga yang paling rendah di Malaysia,” tambahnya lagi.

Pada masa sama, Fadillah terus menyeru rakyat Sarawak untuk bersama-sama berusaha memenuhi matlamat dan tidak terganggu dengan pertelingkahan parti politik yang berpecah-belah, mementingkan kuasa tanpa perancangan memajukan Sarawak.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan