KUCHING, 29 Nov : Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak akan memberi tumpuan kepada 16 acara sukan wajib untuk Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2024.
Pengarahnya, Dr Ong Kong Swee berkata, antara sukan berkenaan termasuklah akuatik (terjun dan renang), badminton, berbasikal, bola sepak, boling tenpin, memanah, olahraga dan wushu.
Ujar beliau, berdasarkan maklumat sebanyak 31 acara akan dipertandingkan pada SUKMA Johor dan Sarawak perlu membuat persiapan awal termasuk penyediaan atlet.
” MSN turut mengingatkan jurulatih supaya mengkaji semula senarai atlet masing – masing bagi memastikan yang terpilih untuk mewakili negeri merupakan prospek pingat atau mengikut prestasi semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat persiapan SUKMA 2022 dan SUKMA 2024 di Bilik Mesyuarat, Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini hari ini.
Berhubung SUKMA 2022 pula yang merupakan edisi khas anjuran Majlis Sukan Negara (MSN), Kong Swee berkata, temasya berkenaan akan dilangsungkan secara tiga fasa.
” Fasa pertama bermula pada Jun, diikuti fasa kedua pada Julai dan diakhir dengan fasa ketiga pada Ogos,” katanya.
Namun demikian katanya, maklumat terkini yang diterima mengatakan belum pasti sama ada MSN akan menganjurkan kesemua 31 sukan pada SUKMA 2022 di Bukit Jalil disebabkan ketidakpastian tentang peruntukan penganjurannya.
Sementara itu katanya, Ketua Unit Prestasi Tinggi (HPU) , Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) diketuai Consultant Andre Richard akan menilai prestasi kesemua jurulatih melalui proses yang sistematik seperti temuduga dan hasil prestasi atlit mereka sepanjang dua tahun.
” Sebanyak 76 orang jurulatih yang terlibat termasuklah jurulatih luar negara dan 31 acara sukan yang akan membuat persediaan awal,” katanya.
Pada SUKMA 2018 Perak, Kontinjen Sarawak meraih 42 emas, 36 perak dan 60 gangsa untuk berada di tempat keempat kutipan pingat keseluruhan.
Sarawak pernah muncul juara keseluruhan SUKMA sebanyak tiga kali iaitu pada 1990, 1992 dan 1994. – TVS