KUCHING, 28 Nov : Gabungan Parti Sarawak (GPS) berpandangan,pergaduhan sesama parti dalam pakatan pembangkang kerana berebut kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke -12 Sarawak ini memberi petanda bahawa mereka tidak mampu membentuk kerajaan yang stabil.
Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ketidaksepakatan itu telah menimbulkan persoalan bagaimana mereka mahu memimpin rakyat Sarawak kelak.
“ Itu masalah mereka (pembangkang) tetapi sejak dari awal lagi, saya sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku ( perebutan kerusi) sesama mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan jentera PRN ke -12 GPS di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako di sini malam ini.
Baru – baru ini DAP dan PKR ‘bertelagah’ mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ingin ditandingi.
Difahamkan dua parti dalam komponen Pakatan Harapan itu berkemungkinan akan bertembung sesama sendiri di empat DUN pada PRN ini jika gagal mencapai kata sepakat.
Pada PRN ke -11 lalu, PKR dan DAP masing – masing tidak mahu mengalah apabila meletakkan calon mereka di enam DUN.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, isu ketidaksepakatan turut melanda parti – parti pembangkang yang berasal dari negeri ini.
“ Ini berbeza dengan kita (GPS), bersandarkan rekod, kita mahu terus bergerak sebagai satu pasukan untuk berkhidmat kepada rakyat Sarawak,” katanya. – TVS