KUCHING, 26 Nov: Penularan COVID-19 telah memberi impak yang amat besar kepada ekonomi dunia, lebih-lebih lagi kepada perusahaan kecil dan sederhana, dengan keupayaan kewangan yang terhad.
Menurut pengusaha premis makanan, Mastika Jamali, pengusaha harus bangkit semula untuk memulihkan ekonomi negara yang sedang merudum.
Beliau menambah, mereka juga harus bersemangat untuk berniaga balik dan mengubah nasib orang yang ada di sekeliling mereka jika hendak berjaya.
“Kita juga kena berguru dan kena belajar untuk menimba ilmu balik, sama ada pergi ke kursus yang berbayar atau kursus yang dianjurkan oleh pihak kerajaan. Tanpa ilmu, kita tak dapat nak ke satu ‘level’, kita tak dapat nak buka minda kita.
“Kita juga kena ambil tindakan. Kita tak boleh menyalahkan keadaan kerana keadaan memang begitu. Kita salahkan diri kita sendiri kerana tidak mencuba,” ujarnya.
Mastika berkata, kemahiran sangat penting terutamanya bagi golongan belia.
Kerajaan juga banyak memberi peluang kepada belia untuk mengikuti kursus kemahiran seperti GIATMARA dan Kolej Kemahiran. – TVS