Oleh Ammierul Mukminin
KOTA KINABALU, 25 Nov : Keupayaan anggota dan aset Angkata Tentera Malaysia (ATM) perlu sentiasa diuji untuk memastikan kesiapsiagaan dan seterusnya menjamin keselamatan negara.
Panglima Divisyen Kelima Infantri , Mejar Jeneral Datuk Mohd. Halim Khalid berkata, untuk mencapai tujuan itu, markas berkenaan telah melaksanakan Eksesais Tembadau Lima Divisyen bermula hari ini sehingga 1 Disember depan.
Katanya, penggunaan teknologi perang komputer yang diaplikasi ketika ini telah memanfaatkan pasukannya untuk mengenal pasti kelemahan sistem yang digunakan selama ini dan lebih peka dengan perkembangan semasa teknologi ketenteraan.
“Eksesais kali ini menggunakan sistem battle tech iv yang dibeli dari Amerika Syarikat (AS) untuk menilai keberkesanan dalam perancangan dan pelaksanaan latihan anggota tentera,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, sistem pos pemerintahan secara berkomputer pula dapat merangka dan menggubal strategi sekiranya negara diancam musuh dari luar negara.
“Latihan ini memerlukan kita buat perancangan termasuk menggubal strategi serta melihat sama ada ia sesuai atau sebaliknya, ” katanya.
Dalam pada itu , beliau turut berharap eksesais itu dapat dimanfaat sebaiknya oleh anggotanya untuk mengetahui kelemahan pasukan dan memperbaikinya. -TVS
.