ANFIELD, 21 Nov: Pertembungan Liga Perdana Inggeris pada perlawanan minggu ke-12 kembali lagi selepas rehat perlawanan antarabangsa dan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 pada minggu lalu.
Perlawanan tumpuan pada minggu ini adalah di antara Manchester United menentang Watford manakala Liverpool menentang Arsenal di Anfield.
Skuad kendalian Ole Gunnar Solkjaer bertandang ke stadium Vicarage Road membawa misi kemenangan selepas tewas kepada Manchester City pada perlawanan sebelum ini.
Beberapa aksi rancak diantara kedua-dua pasukan namun gol pembukaan dimulakan oleh pasukan tuan rumah apabila Joshua King mudah merembat bola ke gawang lawan menembusi David De Gea. Lebih memeritkan, Ismaïla Sarr menambah gol kedua untuk Watford sebelum pemain simpanan Man United, Van de Beek mengekori satu jaringan sebelum berakhir babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, keadaan bertambah malang bagi kem Man united apabila kapten mereka, Harry Maguire, dilayangkan kad merah akibat menerjah kaki lawan.
United bermain dengan 10 pemain dihukum pada minit akhir perlawanan apabila Watford menambah derita dengan menambah dua gol oleh João Pedro dan Emmanuel Dennis sebelum perlawanan berakhir memihak Watford dengan keputusan 4-1.
Berbeza pula kunjungan Arsenal ke stadium Anfield menyaksikan pasukan bimbingan Mikel Arteta tewas 0-4 kepada Liverpool.
Walaupun skuad utama The Reds diselubungi kecederaaan pada perlawanan antarabangsa minggu lalu namun Jurgen Kloop tetap optimis dengan melakukan beberapa perubahan pada pemainnya.
Perlawanan rancak pada minit ke-38 apabila sepakan percuma oleh Trent Alexander-Arnold mudah di tanduk penyerang Senegal, Sadio Mane. Diogo Jota turut menyumbangkan gol hasil kesilapan pemain pertahanan Arsenal, Nuno Tavares, yang mudah memberi bola kepada Jota.
Penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah, menambah jaringan pada minit ke-73 menerusi hantaran silang oleh Mane. Keadaan bertambah buruk bagi Arsenal apabila Takumi Minamino turut meledak gol pertama beliau di Anfield sekali gus mencetak kemenangan bergaya 4-0.
Keputusan ini membawa Liverpool ke tangga kedua dibelakang Chelsea dengan hanya dipisahkan empat mata manakala Arsenal menduduki tangga kelima.
Berbeza pula dengan kem Manchester United yang mengalami kekalahan demi kekalahan, turut memberi tekanan kepada Ole Gunnar Solkjaer dimana jurulatih tersebut hanya mencatat 1 kemenangan daripada 7 perlawanan liga sebelum ini. Terdapat desas-desus bahawa jurulatih kelahiran Norway ini akan dipecat ekoran prestasi merudum beliau.