KUCHING, 22 Nov: Pembinaan Jambatan Sejingkat di sini dijangka akan memanfaatkan hampir dua juta rakyat Sarawak terutamanya di sembilan bandar di kawasan pesisir negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana penduduk di Kuching, Kota Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri akan menikmati akses perhubungan yang lebih baik.
Katanya, kerajaan negeri membelanjakan RM11 bilion bagi keseluruhan projek jalan raya pesisir termasuk pembinaan 14 buah jambatan.
Beliau yakin projek tersebut akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan selain memudahkan akses kepada kemudahan penting seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.
“Projek ini akan menjadi pemangkin yang mengubah pelbagai pembangunan sosio-ekonomi Wilayah Persisiran Sarawak.
“ Ini termasuklah bidang-bidang seperti pertanian, akuakultur dan bioteknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan Sungai Sarawak di Sejingkat dan Projek Jalan Raya Kedua Kuching-Samarahan di pekarangan tapak projek Jambatan Sejingkat di Demak.
“Apabila saya diberi taklimat tadi, dan saya melihat jambatan ini terus saya teringat jambatan seperti ini ada di Osaka, Jepun, dan sekarang jambatan yang sama, ada di Bako.
“Apabila kita merancang untuk membangunkan jambatan seperti ini, kita dapat lihat impaknya kepada kawasan ini.
“Kalau dahulu, kawasan ini tidak mempunyai masalah kesesakan lalu lintas tetapi sekarang sangat sesak. Kerajaan negeri telah membangunkan kawasan Sejingkat, begitu juga Petra Paya, Bukit Siol, Samariang sampai lah ke Damai.
“Kemudian kawasan kita di seberang Petra Jaya ini membangun begitu cepat dan rakyat juga bertambah,” jelas Abang Johari.
Jambatan berkenaan akan menghubungkan Sejingkat ke kawasan Tanjung Bako.
Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata, Projek Jambatan Sungai Sarawak di Sejingkat menelan kos kira-kira RM370 juta dan dijangka bakal siap menjelang Januari 2025.
Ia merupakan jajaran baharu lebuh raya Samarahan-Kuching dan dijangka siap pada 2025 yang dilihat amat penting untuk mengurangkan kesesakan pada waktu puncak.
Pembinaan jambatan sepanjang 1.3 kilometer (km) itu telah bermula Januari lalu. -TVS