KUCHING, 19 Nov : Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, selaku penyandang kerusi DUN berkenaan, jentera GPS tidak hanya turun padang melaksanakan pelbagai projek pembangunan fizikal masa pilihan raya.
“Saya yakin pengundi kita matang dan dapat lihat apa yang GPS telah lakukan. Kita akan bekerja keras untuk pastikan GPS menang di Samariang,” katanya.
Terdahulu Sharifah Hasidah menyerahkan sumbangan bakul makanan daripada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Cawangan Sarawak di Dewan Serbaguna Kampung Semerah Padi Fasa 2 di sini hari ini.
Berhubung kebimbangan di kalangan pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab masing – masing ekoran pandemik COVID-19 yang masih berlarutan, Sharifah Hasidah mengakui perkara itu.
” Namun proses PRN Ke-12 Sarawak akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.
Di sebalik kebimbangan itu, beliau berharap agar pemilih berdaftar akan keluar membuang undi untuk menentukan kerajaan yang akan menerajui Sarawak.
“Saya yakin kita akan selamat jika patuh pada SOP,” katanya.
Beliau turut memberitahu, jentera GPS khususnya di Samariang juga akan mengatur gerak kerja yang mematuhi SOP ditetapkan.
Pada PRN Ke -11 Sarawak, Sharifah Hasidah menang kerusi berkenaan dengan majoriti sebanyak 7,760 undi sekaligus menewaskan calon PAS dan PAN. -TVS