TANAH MERAH, 19 Nov : Polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah dalam serbuan di Kampung Belimbing di sini dan merampas kira-kira 1.5 kilogram heroin bernilai RM380,000.
Ketua Polis Tanah Merah DSP Zainuddin Mat Yusof berkata suspek berumur 25 tahun itu, yang dipercayai baru berjinak-jinak dalam aktiviti tersebut sejak tiga bulan lepas, ditahan pada 6.30 petang Rabu.
Beliau berkata ketika serbuan, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia tiga bulan, didapati mencampakkan sesuatu ke tanah sebelum cuba melarikan diri dan bergelut dengan anggota polis bertugas.
“Hasil pemeriksaan ke atas barang yang dicampak oleh suspek, anggota kami menjumpai bungkusan surat khabar dan 30 botol berpenutup warna kuning dengan setiap satunya berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 198.5 gram.
“Suspek turut membawa anggota kami ke rumah neneknya yang berdekatan kampung terbabit dengan menunjukkan satu beg galas hitam diletakkan di atas lantai bilik itu dan telah menemukan 10 botol berpenutup warna kuning yang disyaki dadah jenis heroin juga seberat 59.2 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Tanah Merah hari ini.
Zainuddin berkata susulan penemuan itu, suspek membawa anggota polis ke rumah keluarganya pula yang terletak di Kampung Hidayah bagi menunjukkan saki-baki dadah yang disimpan untuk dipasarkan di sekitar daerah ini.
“Suspek telah tunjukkan lokasi tandas yang terletak bersebelahan dewan iaitu tempat suspek sembunyikan baki dadah yang disimpan.
“Anggota kami telah menjumpai satu bungkusan beg plastik berwarna hijau yang terdapat di atas lantai tandas itu dan telah menjumpai 15 bungkusan dengan setiap satunya terdapat 10 botol berpenutup warna kuning berisi dadah heroin sebanyak 1,163.2 gram,” katanya.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati ujian air kencing suspek negatif dadah dan dia yang tidak memiliki rekod lampau mengakui memperoleh bekalan itu dari negara jiran.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 24 Nov depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. -TVS