KUCHING, 19 Nov: Sarawak memerlukan kestabilan politik bagi menjamin pembangunan berterusan dapat dilaksanakan di seluruh negeri ini.
Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Datuk Abdullah Saidol berkata, rakyat Sarawak semakin bijak menilai untuk memilih kepimpinan politik yang stabil.
Katanya, urusan pembangunan dan kebajikan rakyat Sarawak hanya dapat diurus dengan baik dan berkesan apabila keadaan politik tenang, stabil dan kukuh.
“Apabila pemimpin-pemimpin bersepakat dengan baik, maka mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya dengan kerja merangka serta pelaksanaan polisi-polisi pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Katanya lagi, jika kepimpinan yang ada terbukti berkemampuan untuk membangunkan negeri dan mengurus kebajikan rakyat, maka tidak perlu mengambil risiko mengubah atau mencuba kepimpinan yang baharu.
Mengulas tentang cabaran yang akan dihadapi oleh semua calon semasa berkempen dalam pilihanraya negeri yang akan datang, beliau berharap semua calon berdisiplin dan mematuhi setiap peraturan yang akan dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta agensi lain.
” Setiap jentera calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah dicadangkan penubuhan pasukan khas yang akan mengawal untuk mengelak perlanggaran peraturan pilihanraya atau tatacara kempen,” katanya.
Selain itu katanya, pasukan khas berkenaan juga akan memantau dan melapor setiap pelanggaran peraturan kempen yang dilakukan oleh calon lawan.
Semua ini bertujuan untuk memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak berjalan lancar dan langkah penjagaan kesihatan awam dipatuhi.- TVS