KUCHING, 17 Nov : Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghargai ‘jemputan’ untuk beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke -12 Sarawak.
Abang Johari yang merupakan penyandang kerusi DUN Satok mengucapkan terima kasih kepada Datuk Naroden Majais yang memberi laluan kepadanya.
“ Terima kasih kerana membuka laluan dan saya akan pertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Lubok Teranggas ke Gedong di sini.
Abang Johari turut mendedahkan Naroden sebelum ini telah memberitahu beliau hasrat untuk tidak bertanding dalam PRN ke -12 Sarawak.
Sebelum ini terdapat ura – ura mengatakan Ketua Menteri mungkin akan beralih di kawasan baharu dalam PRN ke -12 Sarawak . – TVS