MIRI, 14 Nov : Parti Rakyat Sarawak (PRS) bersedia membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak akan datang.
Pengerusi PRS Cawangan Miri, Pandang Semat berkata, ini kerana parti itu ketika ini semakin agresif dalam merekrut ahli baharu di kawasan berkenaan di samping sentimen penduduk setempat yang menyenangi khidmat yang diberikan wakil rakyat GPS di kawasan itu selama ini.
Pada masa sama , Pandang berkata, PRS selaku parti dalam komponen GPS juga mesra dengan pengundi muda apabila mendapati terdapat peningkatan sokongan golongan itu terhadap GPS.
” Berdasarkan perkembangan semasa, kita berharap akan dapat mempertahankan DUN Lambir serta cuba untuk menambah majoriti yang lebih besar,” katanya baru – baru ini.
Menurut Pandang , pada awal bulan ini, PRS kawasan berkenaan telah menerima borang keahlian baharu yang diserahkan oleh 70 penduduk Rumah Etap di Sungai Banjong.
Sementara itu, penyandang kerusi DUN berkenaan, Ripin Lamat berkata, kerajaan negeri di bawah pentadbiran GPS telah membawa banyak pembangunan ke rumah panjang seperti Rumah Etap.
” Menerusi sokongan yang diberikan kepada GPS, sudah pasti lebih banyak pembangunan yang dapat dilakukan termasuklah sambungan internet yang ketika ini sudah berada dalam proses tinjauan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membina menara telekomunikasi,”katanya.
Untuk rekod, pada PRN 2016, Ripin yang bertanding di bawah tiket Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 4,907 undi sekaligus menewaskan calon PKR, Mohdak Ismail. -TVS