KUCHING, 12 Nov: Asrama Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN) menjadi asrama pertama di Sarawak yang menggunakan kit ujian kendiri COVID-19 yang dilengkapi Teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence).
Perkara tersebut hasil usaha Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) yang telah mengagihkan 200 kit ujian kendiri COVID-19 kepada asrama tersebut.
“Sebagai agensi pelaksana ekonomi digital Sarawak, SDEC telah memperkenalkan kit ujian kendiri COVID-19 beserta platform dan aplikasi digital TestNGo sebagai salah satu inisiatif yang menyumbang kepada sektor kesihatan digital di Sarawak,” kata Eksekutif Pemasaran SDEC Firdaus Zaidi.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan Rapid test kit covid-19 serta platform digital (TestNgo) oleh Sarawak Digital Economy Corporation SDEC.
Jelasnya, kit Ujian kendiri COVID-19 ini telahpun mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa peranti perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia serta mematuhi Akta Peranti Perubatan 2012.
“Kit ujian kendiri COVID-19 ini mampu memberikan 100% kepekaan serta mempunyai kekhususan yang tinggi sekaligus meningkatkan keyakinan ibu bapa membenarkan anak-anak meneruskan sesi persekolahan yang sekian lama tertangguh akibat wabak COVID-19,” tambah Firdaus.
Dalam pada itu, kit ujian tersebut juga turut dilengkapi dengan teknologi dashboard yang memudahkan sebuah organisasi untuk memantau status saringan COVID-19 dalam kalangan para pelajar dan pekerja.