KUCHING, 12 Nov : Hanya mengambil masa tujuh bulan, sebuah pusat judi atas talian “berjaya” meraih keuntungan sebanyak RM1.26 juta.
Walau bagaimanapun, pusat tersebut yang beroperasi di Taman Seng Goon di sini telah diserbu pasukan Bahagian Kongsi Gelap/Judi/Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuching.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah, pusat berkenaan yang beroperasi 24 jam sehari dapat mengaut keuntungan kasar sebanyak RM6,000 sehari.
“Serbuan telah dilakukan pada Khamis (11 Nov) di sebuah pangsapuri pada jam 3.05 petang.
“Pemilik pangsapuri, seorang warga tempatan telah ditahan bersama serta tujuh warga Indonesia yang berkhidmat sebagai operator pusat tersebut dalam lingkungan usia 16 hingga 29 tahun,” katanya dalam satu siaran media, pada Jumaat.
Tambah Ahsmon lagi, setiap operator dibayar RM1,500 sebulan dan juga diberi bonus berdasarkan peratusan keuntungan yang diperolehi.
“Pihak polis turut merampas enam (6) unit monitor komputer, enam (6) unit pemprosesan komputer (CPU), Router, modem dan peralatan lain.
“Suspek-suspek yang ditahan akan disiasat dibawah Seksyen 4(1)(g) akta Rumah Judi Terbuka,” katanya lagi