KUCHING, 11 Nov: Golongan memerlukan bantuan seperti orang kurang upaya (OKU), warga emas, dan ibu tunggal di Sarawak sentiasa menerima bantuan dan perhatian daripada Kerajaan Negeri.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program yang memberi manfaat kepada golongan ini.
Beliau berkata, sebagai contoh, tujuan program Usahawan Mikro Kebajikan adalah bagi membantu penerima bantuan kebajikan yang masih produktif dari segi ekonomi untuk menjalani latihan keusahawanan dan mendapatkan bantuan kewangan supaya mereka boleh hidup berdikari dan tidak lagi bergantung kepada bantuan kebajikan.
Beliau menjelaskan Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM8.6 juta pada 2021 bagi pembangunan pasaran dan pemasaran produk, pembangunan projek keusahawanan serta pembangunan latihan, kemahiran dan kerjaya kepada usahawan dalam usaha membantu golongan ini.
“Ini merangkumi ahli keluarga penerima bantuan yang produktif,” katanya dalam ucapan untuk merasmikan Majlis Sambutan Hari Kebersamaan Ke Arah Kesejahteraan anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini pada hari ini.
Awang Tengah, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, berkata Kerajaan Negeri juga terus memperkasakan warga emas di Sarawak menerusi Bantuan Warga Emas (BWE).
“Pada Januari hingga Oktober 2021, Kerajaan telah membelanjakan RM96.9 juta untuk dimanfaatkan oleh 19,271 warga emas.
“Selain itu, di bawah inisiatif Kenyalang Gold Card (KGC), setakat ini sebanyak 193,116 KGC telah diagihkan, sementara setakat 31 Oktober 2021, sebanyak 320 vendor di seluruh Sarawak bersetuju untuk menjadi rakan strategik KGC,” jelasnya.
Dalam pada itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah menyeru kepada semua pihak yang berkemampuan untuk sama-sama memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan ini demi kesejahteraan bersama.
“Ayuh kita bersama-sama membantu mereka, memberi bantuan, menyokong dan membimbing mereka ke arah kehidupan yang lebih sejahtera,” kata Fatimah.
Beliau turut mengingatkan rakyat Sarawak agar bijak dan rasional dalam memilih wakil rakyat dan kerajaan yang mampu membawa pembangunan kepada mereka dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi. – TVS



