Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sarawak kini miliki universiti sendiri, pacu pendidikan tinggi negeri

ByLuqman Muhammad

Kredit gambar UKAS

SIBU, 10 Nov : Bidang pendidikan tinggi di Sarawak memasuki fasa baharu apabila negeri ini kini mempunyai universitinya sendiri.

Pencapaian ini dilakar apabila Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) dianugerahkan status universiti penuh daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada hujung tahun lepas.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, susulan penganugerahan berkenaan, UCTS kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

” Di pihak kerajaan negeri, kita akan memberi komitmen dengan menyalurkan pembiayaan pendidikan membabitkan sokongan untuk operasi dan kewangan universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan UTS di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi UTS, Dr. Annuar Rapaee.

Berhubung fungsi UTS , Abang Johari berkata, universiti berkenaan akan memainkan peranan penting dengan memberi fokus kepada penyelidikan dan inovasi dalam pembangunan masyarakat sekaligus menerajui Sarawak bergerak ke arah negeri yang maju pada 2030 dan selaras dengan visi pendigitalannya.

” UTS akan membantu Sarawak untuk melahirkan graduan bagi ekonomi digital masa depan yang berdaya saing dengan melahirkan generasi celik teknologi dan digital,”katanya.

Serentak dengan pelancaran UTS, Ketua Menteri turut mengumumkan pengenalan tiga kategori biasiswa untuk membolehkan anak negeri ini mendapat akses dan pembiayaan pengajian mereka di universiti berkenaan.

” Antaranya ialah UTS Foundation Scholarship dibiayai yang oleh kerajaan negeri untuk semua pelajar melibatkan pemberian biasiswa yang akan menanggung yuran pengajian sebanyak RM10,000 seorang pelajar,” katanya.

Pakej pengurangan yuran pengajian pula, menurut Abang Johari ia akan melibatkan peruntukan sebanyak RM4.5 juta hingga RM7 juta setahun bagi tempoh lima tahun.

Selanjutnya, jelas Ketua Menteri, Biasiswa Pra Siswazah dan Pasca Siswazah yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri pula meliputi Skim Biasiswa Khas untuk warga Sarawak dengan menanggung yuran pengajian sebanyak 50 peratus.

” Berdasarkan unjuran lima tahun, ini akan melibatkan sumbangan sebanyak RM17.2 juta hingga RM27 juta setahun,” katanya.

Beliau turut menambah, bagi UTS Bursary Scheme untuk warga Sarawak kategori B40 dan M40 pula, ia akan menampung yuran pengajian sebanyak 80 peratus.

” Skim ini untuk 100 pelajar Bumiputera dan 100 pelajar bukan Bumiputera setahun. Berdasarkan unjuran perlaksanaan selama lima tahun , ia akan melibatkan tanggungan RM3 juta setahun oleh kerajaan negeri,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan