KUCHING, 9 Nov : Festival Muzik dan Seni Antarabangsa Sarawak (SIFMA) 2 bakal dianjurkan secara hibrid pada 20 dan 21 November ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata , festival berkenaan merupakan anjuran International Music House Kuching yang ditaja Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak.
“SIFMA akan menghidupkan semula dan menyerlahkan bidang muzik dan seni yang dinamik dengan membawa komuniti di seluruh dunia bersama-sama termasuk penari, konduktor, koir, penyanyi dan artis terkenal dari seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Festival Muzik dan Seni Antarabangsa Sarawak di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini hari ini.
Menurutnya, acara kemuncak SIFMA 2 juga termasuk penganjuran forum Let’s Talk yang mempersembahkan kisah inspirasi dan nasihat daripada profesional serta peminat dalam komuniti muzik dan seni.
“Selain itu, satu lagi acara penting ialah “Be A Host” yang mengajak penonton untuk merasai kemeriahan festival secara langsung menerusi platform maya,” katanya.
Acara maya SIFMA 2 pada 21 November akan disiarkan secara langsung di lokasi berbeza bukan sahaja di Sarawak tetapi seluruh negara serta dapat ditonton penonton global menerusi rakan kongsi dan vendor sekali gus membantu menarik orang ramai dan menjana pendapatan. -TVS