KUCHING, 9 Nov : Menyedari ‘kekurangan’ kempen menerusi media sosial yang tidak dapat menjangkaui kawasan luar bandar serta pedalaman, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merancang untuk mengubah strategi dan jentera kempen mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.
Timbalan Ketua Pergerakan Wanitanya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ketika ini pihaknya menjangkakan pengumuman prosedur operasi standard (SOP) kempen oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkemungkinan tidak akan membenarkan program ziarah dari rumah ke rumah disebabkan faktor situasi kesihatan semasa.
Dalam soal ini ujarnya, sekiranya tidak dibenarkan melakukan bertemu pengundi , ia akan menjadi cabaran kepada Wanita PBB yang sudah terbiasa berkempen secara fizikal.
” Bagaimanapun, pihak kami akur terhadap SOP yang bakal ditetapkan kerana ia bertujuan untuk menjaga keselamatan semua pihak termasuk calon, jentera parti dan rakyat di kawasan terlibat,”katanya.
Sehubungan itu, Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti dan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak – kanak berkata, pihaknya mungkin akan mengubah pendekatan jentera kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.
“Oleh itu wujud keperluan untuk memikirkan cara baharu serta tindakan yang sesuai kerana masih terdapat generasi muda hari ini yang tidak terbiasa dengan penggunaan telefon pintar di sesetengah kawasan,” katanya.
Begitupun ujar Fatimah, beliau yakin berkat kesepaduan, kerjasama dan iltizam tinggi untuk menang PRN ke-12 kali ini, sesuatu akan dilakukan supaya mesejnya tetap sampai kepada para pengundi. – TVS