Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Stesen pertanian baharu Ba’kelalan bakal kembangkan produk tempatan

BA’KELALAN (Sarawak), 9 Nov : Pembinaan pejabat atau stesen pertanian baharu di Ba’kelalan bakal memacu perkembangan sektor pertanian tempatan di kawasan ini yang terkenal dengan penghasilan beras premium Adan dan produk berasaskan ternakan kerbau.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak , Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kemudahan itu akan menggantikan pejabat pertanian sedia ada yang telah beroperasi sejak 1985.

Katanya, projek pembangunan itu adalah inisiatif di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Sarawak yang dijangka siap sepenuhnya mengikut jadual pada Februari 2023.

“Kemajuan projek ketika ini baik. Projek ini akan menempatkan blok pentadbiran dan kuarters petugas. Saya harap projek ini disiapkan mengikut tarikh dan jadualnya.

“Usaha ini akan meningkatkan kualiti produk pertanian rakyat di sini yang sememangnya mempunyai potensi pasaran yang luas termasuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya selepas meninjau tapak projek itu sempena lawatan kerjanya ke Ba’kelalan baru-baru ini.

Lawatan kerja itu turut disertai Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong yang juga Ahli Parlimen Lawas, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan ketua-ketua jabatan agensi kerajaan.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata , stesen pertanian itu akan menyediakan perkhidmatan teknikal dan nasihat kepada petani, penternak dan peladang di kawasan ini.

Beliau berkata kemudahan itu dapat membantu petani dan penternak terlibat meningkatkan penghasilan dan kualiti produk mereka selain membantu memasarkan hasil pertanian mereka.

“Di Ba’kelalan ramai juga terlibat dengan ternakan kerbau dan selain daripada produk daging halal, kita berhasrat untuk menghasilkan keju susu kerbau yang mempunyai pasaran tinggi di Eropah,” katanya.

Jelas beliau, kawasan Lawas dan Limbang adalah lokasi tumpuan kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi usaha-usaha meningkatkan hasil pengeluaran pertanian, perikanan dan penternakan di kawasan tersebut.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan