MELAKA, 8 Nov : Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 bermula hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung dalam suasana norma baharu di 28 pusat penamaan yang akan dibuka pada pukul 9 pagi.
Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat persiapan rapi di semua pusat penamaan calon itu yang akan menyaksikan prosedur operasi standard (SOP) ketat dilaksanakan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.
Setakat ini, lima parti iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) serta seorang calon bebas, telah menyatakan hasrat bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Dijangka seramai 91 calon akan mengemukakan borang pencalonan.
–BERNAMA