KUCHING, 5 Nov: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 diadakan dalam tempoh 60 hari.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak GPS berkata ia berkuat kuasa pada 3 November 2021
Perkembangan berkenaan susulan penamatan Proklamasi Darurat Sarawak yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Abang Johari berkata, Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar akan memaklumkan perkembangan berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ditanya mengenai tarikh sesuai PRN diadakan, beliau berkata hal tersebut bergantung kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pada masa sama, beliau menjelaskan kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak terburu-buru untuk mengadakan PRN memandangkan faktor kesihatan awam menjadi keutamaan.
“Namun demikian, Sarawak bersedia memandangkan tahap vaksinasi negeri ini antara tertinggi dan telah mencapai tahap imuniti kelompok,” katanya pada satu sidang media khas di sini.
Ujar beliau, PRN berkenaan perlu diadakan bagi menjamin hak rakyat Sarawak untuk memilih kerajaan secara demokrasi selaras dengan amalan Demokrasi Berparlimen yang terpelihara. -TVS