Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sarawak bayar pampasan lebih RM14 juta ambil tanah untuk projek rakyat

KOTA SAMARAHAN, 4 Nov : Kerajaan Sarawak membayar pampasan sebanyak RM14, 176 005.80 berikutan pengambilan balik tanah untuk melaksanakan dua projek rakyat.

Timbalan Ketua Menteri , Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, pampasan tersebut diberikan kepada 69 orang penerima berikutan tanah mereka terlibat dengan Projek Bako, Sejingkat dan Jalan Persisir Samarahan dan pembangunan tapak baharu bagi pembesaran Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Ibnu Khaldun Kota Samarahan.

“ Bagi projek jalan, jumlah pampasan yang dibayar ialah RM11, 613 571. 80 dengan melibatkan 60 orang penerima manakala projek pembesaran sekolah melibatkan bayaran kepada sembilan orang dengan nilai keseluruhan sebanyak RM2,562,434.00,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek pampasan di Dewan Seminar INTAN Kampus Wilayah Sarawak di sini hari ini.

Selain itu, turut berlangsung penyerahan surat penyertaan warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 , Kanun Tanah Negeri (KTN) kepada penduduk Kampung Mang yang melibatkan keluasan 174.3 hektar.

Awang Tengah turut menyerahkan Surat Hakmilik Tanah kepada 100 orang penerima bagi penduduk di Kampung Sindang.

Mengulas mengenai pembangunan sesebuah projek, beliau berkata, kerajaan memerlukan tanah untuk membangunkan projek yang dirancang demi kesejahteraan rakyat.

“Misalnya, pembinaan jalan raya memerlukan tanah dan ada kalanya terpaksa melalui tanah penduduk di sesebuah kawasan. Jadi kami akan menggunakan tanah mereka dengan syarat akan ada pampasan diberikan.

“Jika adanya pembangunan seperti , maka mudah untuk kerajaan membangunkan kemudahan lain seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik dan seterusnya penduduk akan dapat memasarkan produk pertanian mereka,”ujarnya.

Sementara itu, beliau menasihatkan rakyat yang mahu tanah mereka disukat supaya membuat permohonan kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan