SERIAN, 4 Nov : Seorang guru wanita meninggal dunia selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar pembetung konkrit di simpang Sorak , Kilometer 5 , Jalan Serian Tebedu pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata , akibat pelanggaran berkenaan sekitar jam 7.20 pagi, mangsa cedera parah di bahagian kepala dan leher.
“Mangsa yang berusia 29 tahun itu tersepit di bahagian hadapan kereta dan disahkan meninggal dunia oleh petugas dari Hospital Serian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mangsa yang memandu kereta Perodua Bezza itu dipercayai dalam perjalanan ke arah Tebedu dari Serian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Serian, James Ak Gani berkata, seramai lapan anggotanya dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa.
“ Pihak bomba perlu berhati – hati kerana kejadian berlaku ketika hujan serta keadaan permukaan jalan raya yang basah,” katanya. – TVS