KUCHING, 29 Oktober : Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan mempertingkat usaha dan perkhidmatannya dalam membantu Sarawak menangani isu penyalahgunaan dadah di negeri ini.
Usaha tersebut akan dijalankan menerusi One Stop Committee (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) yang akan memperlihatkan kerjasama AADK Persekutuan dan Sarawak dalam memastikan matlamat mengurangkan masalah penyalahgunaan dadah khususnya di Sarawak dan amnya di Malaysia dapat dikawal.
Ketua pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Malaysia, Sutekno Ahmad Belon berkata, pihaknya akan meningkatkan lagi perkhidmatan mereka untuk membantu kerajaan Sarawak menerusi One Stop Committee (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS).
“Antara yang dilaporkan ialah kerjasama yang diadakan AADK dengan jentera yang telah diwujudkan Kerajaan Sarawak iaitu One Stop Committee (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS).
“AADK juga telah memberikan komitmen kepada Ketua Menteri berhubung dengan bentuk kerjasama serta aktiviti dan program yang akan dilaksanakan secara bersama dalam jangka masa panjang
““Kita ada sasaran menjelang 2025 nanti iaitu jumlah penagihan dadah tidak melebihi 400 orang per 100,000 populasi dan yang kembali menagih tidak melebihi 25 peratus,” kata Sutekno.
Perkara tersebut dimaklumkan beliau semasa pertemuannya bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Jumaat.
Selain itu, kunjungan itu juga bertujuan menzahirkan ucapan terima kasih di atas bantuan dan peruntukan yang telah disalurkan Kerjaan Sarawak melalui OSC MIDS.
Tambah Sutekno lagi, pihaknya kini sedang mengenal pasti penempatan pusat pemulihan yang baru.
“Kami sedang berbincang dengan Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti tapak yang sesuai untuk pusat pemulihan tersebut,” ujarnya lagi.