KUCHING, 28 Okt: Hanya 14 kes positif COVID-19 baharu yang dilaporkan di Sarawak hari ini mengalami jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan pernafasan.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, 662 kes lagi adalah mereka yang tidak bergejala dan bergejala ringan, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 676 kes.
Pertambahan kes hari ini menjadikan kumulatif kes positif di Sarawak kini 239,218.
Antara kawasan yang mencatatkan kes tertinggi adalah Kuching dengan 170 kes diikuti Miri (154), Sibu (83) dan Bintulu (41).
Selain itu, 34 kematian akibat COVID-19 direkodkan di Sarawak dari 7 Okt sehingga hari ini manakala jumlah kluster yang aktif sebanyak 34.