KUALA LUMPUR, 28 Okt — Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia menerima kejutan besar selepas beliau disingkirkan awal dalam Kejohanan Terbuka Perancis 2021, hari ini oleh pemain bukan pilihan Loh Kean Yew dari Singapura.
Pemain ranking ke-40 dunia Kean Yew menewaskan pemain pilihan ketujuh Zii Jia straight set 24-22, 21-14 dalam perlawanan pusingan pertama yang berlangsung selama 39 minit di Stade Pierre de Coubertin, Paris.
Kekalahan mengejut itu bermakna Zii Jia yang juga Juara All England 2021 masih bergelut untuk mendapatkan kembali rentak permainannya selepas ditewaskan pemenang pingat emas Olimpik, Victor Axelsen dalam suku akhir Terbuka Denmark 19-21, 19-21.
Dalam kategori beregu lelaki, pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke peringkat seterusnya selepas mereka menumpaskan gandingan profesional baharu Goh V Shem-Low Juan Shen, 25-23, 21-12.
Dalam pusingan kedua, Aaron-Wooi Yik bakal berhadapan beregu Thailand Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren atau pasangan tuan rumah Lucas Corvee-Ronan Labar yang akan bertemu dalam perlawanan yang berlangsung kemudian hari ini.
Sementara itu, beregu wanita negara, Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen menewaskan pasangan Ukraine, Mariia Stoliarenko-Yelyzaveta Zharka, 21-12, 21-17 untuk melangkah ke perlawanan seterusnya sama ada berhadapan satu lagi beregu tuan rumah Margot Lambert-Anne Tran atau pilihan keenam Chloe Birch-Lauren Smith dari England.
Dalam kategori beregu campuran, pasangan pilihan kedua dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti menewaskan pasangan Malaysia Chen Tang Jie-Peck Yen Wei 22-20, 21-19 dalam satu pertarungan yang sengit.
— BERNAMA