KUALA LUMPUR, 27 Okt : Dua pemain boling Sarawak, Nerosha Keligit dan Gillian Lim dipilih mewakili negara pada Kejohanan Boling Dunia Super IBF di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang akan bermula pada bulan depan.
Menerusi pengumuman oleh Persatuan Tenpin Boling Malaysia (MTBC) hari ini, lapan pemain lelaki diketuai juara dunia 2018, Rafiq Ismail manakala bekas juara dunia wanita dua kali, Siti Safiyah Amirah Abd Rahman akan mengibarkan cabaran dalam kategori wanita.
Nerosha, 25, yang mencipta sejarah sebagai pemain boling pertama meraih enam pingat emas dalam satu edisi Sukma pada 2016 akan membuat penampilan kali kedua selepas menyertai kejohanan sama di Las Vegas pada 2019.
Menurut Nerosha, dia berbangga kerana diberi kepercayaan oleh jurulatih dan persatuan untuk beraksi pada kejohanan tertinggi dalam kalendar boling dunia.
Ujarnya, dia telah berusaha bersungguh -sungguh untuk merebut tempt dalam pasukan negara walaupun berdepan pelbagai cabaran.
” Sejujurnya tidak mudah kerana saya tidak berlatih selama hampir empat bulan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain dibelenggu kecederaan tulang belakang namun kini kondisi saya sudah pulih,” katanya.
Selepas gagal meraih sebarang pingat pada penampilan pertama, Nerosha berikrar untuk memberi yang terbaik dan berharap dapat mencatatkan kejayaan pada edisi kali ini.
Gillian, 21, pula sebelum ini telah membuktikan potensinya apabila meraih dua emas pada Kejohanan Boling Remaja Asia pada 2019.
Selain Nerosha dan Gillian, wakil negara kali ini memperlihatkan banyak muka baharu yang diberi peluang termasuklah bekas juara all event remaja dunia , Nur Syazwani Sahar , Nora Lyana Natasia selain dilengkapkan dengan kehadiran juara dunia acara berpasukan 2017, Natasha Roslan.
Bagi Rafiq , dia bersyukur kerana masih diberi peluang untuk mewakili negara selepas dua tahun tidak terlibat dengan sebarang pertandingan berikutan pandemik COVID-19.
Namun demikian, Rafiq yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 mengakui dia berdepan cabaran sukar untuk mempertahankan pingat emas acara perseorangan yang dimenangi di Hong Kong, tiga tahun lalu.
” Secara fizikalnya saya dan rakan sepasukan sudah bersedia namun kami memerlukan masa untuk mendapatkan rentak. Pasukan ada terlibat dalam pertandingan sesama sendiri namun itu tidak mencukupi,” katanya.
Disebabkan format pertandingan berubah, Rafiq secara peribadi menyasarkan untuk berada pada kedudukan 10 tempat terbaik dalam setiap acara disertainya kelak.
Pada 2018, skuad lelaki negara membawa dua pulang pingat emas manakala skuad wanita menampilkan persembahan terbaik pada 2017 dengan membawa pulang satu emas, dua perak dan satu gangsa. -TVS