RANTAU PANJANG, 24 Okt – Timbunan guni misteri yang ditemukan di belakang sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Che Da’ah dekat Gual Tok Deh di sini, mendedahkan kegiatan penyeludupan pelbagai jenis pakaian wanita bernilai RM38,760.
Pegawai Pemerintah Batalion Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) Supt Nor Azizan Yusof berkata pihaknya menerima maklumat mengenai timbunan guni itu kira-kira 7.30 malam pada 23 Okt, sebelum bergerak ke lokasi membuat pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan di belakang rumah tidak bernombor itu mereka menemukan guni-guni mengandungi 969 helai pakaian wanita pelbagai jenis (fesyen) yang diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan di sini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata selepas menemukan guni-guni tersebut anggota PGA telah menunggu di situ selama sejam bagi mengetahui pemiliknya namun tiada sesiapa yang muncul.
“Kesemua guni tersebut dibawa pulang ke Komtak Taman Bakti di sini untuk pemeriksaan lanjut dan laporan polis dibuat di Balai Polis Rantau Panjang manakala barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Mengulas lanjut, Nor Azizan berkata modus operandi penyeludup kini adalah meninggalkan barangan seludup di kawasan terpencil sama ada di dalam kenderaan ataupun guni sebelum ada pihak lain yang datang mengambilnya.
— BERNAMA