KUCHING, 23 OKTOBER : Pelbagai program dan inisiatif telah pun dan bakal dilaksanakan di bawah payung Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Ini termasuklah Rumah Ikram Keluarga Malaysia, Skuad Keluarga Malaysia, Pakej Peranti Keluarga Malaysia, Pakej Penjagaan COVID-19 Keluarga Malaysia, Keluarga Malaysia Siaga Bencana, Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia dan Residensi Rumah Keluarga Malaysia,” kata beliau
Katanya, setiap kementerian di bawah Kerajaan Persekutuan dikehemdaki memperkenalkan sekurang-kurangnya satu program dan inisiatif yang menitikberatkan matlamat bagi membantu mengurangkan kesan ekonomi yang membebankan rakyat.
Beliau turut berharap agar usaha itu turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Sarawak.
“Justeru, saya ingin mengingatkan agar setiap ahli Jemaah Menteri dan kementerian-kementerian terus konsisten memberi tumpuan kepada program dan inisiatif yang ingin dijalankan ini.
” Saya percaya semua ini akan mensejahterakan dan memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia. Ini merupakan tanggungjawab utama yang telah saya amanahkan kepada mereka, ” katanya ketika berucap bersempena dengan Pelancaran Keluarga Malaysia pada malam Sabtu.
Sementara itu, bagi memantau pelaksanaan konsep Keluarga Malaysia, Keberhasilan Kebahagiaan atau Key Happiness Outcome (KHO) telah diperkenalkan bagi melengkapi Petunjuk Prestasi Utama (atau KPI).
“KHO dan KPI ini menjadi komitmen dan kesungguhan kerajaan, untuk membawa negara keluar daripada kelelahan pandemik,”
“Bahkan, ia akan memperbaiki kedudukan negara dalam carta Indeks Kebahagiaan Dunia atau World Happiness Report di mana kita kini berada di kedudukan ke-81 pada tahun 2021,” katanya lagi.