Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Elak amalan perlantikan ‘kontraktor penyelamat’ dalam projek kerajaan Sarawak – PM

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 23 OKTOBER : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu sebarang amalan untuk melantik kontraktor penyelamat dielakkan dari terus berlaku dalam pelaksanaan projek kerajaan.

Beliau turut mahu pemantauan lebih ketat dibuat sejak dari awal pelaksaan sebarang projek di negeri ini.

Beliau bercakap demikian dalam sidang media selepas melawat tapak projek pembinaan Hospital Petra Jaya (HPJ) di sini pada Sabtu dalam lawatan kerja rasmi beliau yang pertama di Kuching sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, kontraktor yang lewat atau gagal menyiapkan projek bukan hanya menjejaskan harapan kerajaan negeri dan rakyat, tetapi turut melibatkan kos tambahan.

“Kontraktor sedia ada sekarang perlu dipantau kerjanya sehingga siap kerana jika melibatkan kelewatan, pastinya harapan penduduk sekitar kawasan ini dan kerajaan untuk mendapatkan hospital akan terjejas dan lebih merugikan, adalah kos yang meningkat,” katanya.

Pada masa yang sama, projek pembinaan semula Hospital Petra Jaya yang terbengkalai selama tiga tahun kini disambung semula setelah kontraktor penyelamat dilantik untuk mengambil alih projek yang pernah disifatkan sebagai “projek sakit” itu.

Untuk rekod, Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin berkata, projek tersebut mengalami kelewatan beberapa kali akibat masalah daripada pihak kontraktor.

Namun hospital tersebut akan mula beroperasi pada 2024 degan kemampuan menempatkan 300 katil.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Kerajaan Sarawak turut mengemukakan beberapa permintaaan daripada kerajaan Pusat untuk membantu dalam melaksanakan pembangunan di negeri ini, khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, permintaan itu dikemukakan pagi tadi sewaktu beliau menghadiri taklimat pembangunan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) Negeri Sarwak yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Antaranya keperluan untuk utiliti air yang perlu dipertingkatkan, begitu juga jalan-jalan di luar bandar dan yang penting saya dimaklumkan keperluan untuk menaik taraf atau membina baharu sekolah-sekolah daif di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Datuk Ruji Ubi telah diarahkan untuk berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion mengenai perkara berbangkit Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk negeri itu.

“Menjelang penghujung RMK12, saya berharap perkara-perkara berbangkit ini dapat diselesaikan. Saya sudah pun memberi komitmen kepada kerajaan Sarawak bahawa kita akan bantu dari segi pembangunan luar bandar,” ujarnya lagi.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan