Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Usahawan Sarawak sambut baik BKSS 7.0 Plus

KUALA LUMPUR, 22 Okt : Persatuan Usahawan Bumiputera Wanita Sarawak (Saranita) menyambut baik pengumuman tambahan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 7.0) Plus oleh kerajaan negeri baru – baru ini.

Presidennya, Hairuni @ Jamilah Shukri berkata, inisiatif berkenaan tepat pada masanya ketika banyak perniagaan di negeri ini berusaha untuk bangkit semula selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Bagaimanapun Hairuni berharap agar syarat untuk memohon BKKS7.0 Plus dapat dilonggarkan supaya lebih banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mikro di negeri ini mendapat manfaat.

” Satu inisiatif yang bagus cuma kita perlu lihat syarat ditetapkan. Sebelum ini kerajaan mensyaratkan perniagaan yang ingin memohon mesti memiliki sekurang – kurangnya lima pekerja termasuk berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman BKSS7.0 plus oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru – baru ini.

BKSS7.0 plus mempunyai dua pakej bantuan iaitu pertama secara sekali bayar kepada 470 PKS yang aktif membabitkan peruntukan sebanyak RM4.7 juta.

Bantuan kedua pula melibatkan pembayaran sebanyak RM3,000 kepada mikro yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan berdaftar hingga 31 Mac 2021.

Mengulas lanjut, Hairuni berkata, pandemik yang berlarutan telah menjejaskan usahawan wanita di negeri ini dan mereka merupakan golongan yang perlu dibantu.

” Sebelum COVID-19, Saranita mempunyai sekitar 500 ahli berdaftar melibatkan pelbagai latar belakang perniagaan namun ketika ini hanya tinggal 200 ahli sahaja. Kita berharap apabila aktiviti ekonomi telah dibuka, ia akan dapat mengaktifkan kembali usahawan wanita di Sarawak,” katanya.

Bagi usahawan mikro pula, mereka turut menyambut baik pengumuman berkenaan namun memerlukan maklumat tambahan seperti kriteria permohonan.

Ludia Apoi yang mengusahakan perniagaan inap desa, pakaian dan kraftangan menggunakan label Ludia Craft Collection berkata, bantuan itu boleh menjamin perniagaan bertahan kerana pandemik COVID-19 masih berlarutan.

” Perniagaan inap desa saya di Ulu Baram terjejas kerana sekatan perjalanan yang dilaksanakan. Begitu juga dengan perniagaan jahitan dan kraftangan, tempahan memang merosot,” katanya.

Ludia yang aktif berniaga sejak tujuh tahun lalu berkata, beliau bercadang untuk memohon BSS7.0 Plus namun tidak mempunyai maklumat lanjut tentang kaedah permohonannya.

Noor Shazarina Abdullah merupakan usahawan kecil yang berasal dari Sarawak kini mula mengembangkan perniagaan kateringnya di ibu negara. Nota : Foto dirakam sebelum pandemik COVID-19.

Bagi Noor Shazarina Abdullah yang mengusahakan perniagaan KonYenG Catering berkata, sekiranya layak memohon BSS7.0 Plus dan diluluskan, dia mungkin akan menggunakan wang berkenaan untuk mengembangkan perniagaannya di ibu negara.

“Sejak lebih 10 tahun saya telah menjalankan perniagaan ini di Kuching dan kini telah berpindah di Kuala Lumpur. Di sini, saya telah mempelbagaikan makanan yang dijual dan tidak hanya bergantung kepada kek Lapis Sarawak sahaja,” katanya.

Menurutnya, sekiranya layak memohon bantuan yang diumumkan itu, ianya merupakan berita baik.

” Ini kerana saya turut mengajar cara-cara membuat kek dan masakan lain secara dalam talian dan mendapat maklum balas yang memberangsangkan,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan