Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Variasi genom Malaysia daripada populasinya yang pelbagai menawarkan tapak terbaik dan paling sesuai untuk penyelidikan ujian klinikal, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Antivaksin : KKM guna pendekatan tidak benarkan kebebasan tertentu – Khairy

KUALA LUMPUR, 21 Okt — Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil pendekatan tidak membenarkan kebebasan tertentu dinikmati individu yang lengkap divaksinĀ kepada kumpulan antivaksin, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kebebasan yang disekat itu hanya dituju kepada mereka yang enggan menerima vaksin COVID-19.

Beliau berkata terdapat dua kumpulan yang harus dibezakan iaitu mereka yang tidak boleh menerima vaksin disebabkan masalah kesihatan dan mereka yang enggan menerima vaksin.

“Dimaksudkan di sini bukan kita…kerajaan yang menyusahkan mereka (kumpulan antivaksin) tetapi sebenarnya pilihan mereka yang menyusahkan mereka sendiri iaitu mereka tidak mengambil vaksin, enggan menerima vaksin, tidak ingin mendengar hujah saintifik dan akhirnya tidak akan mendapat kebebasan yang sama seperti rakyat dan penduduk yang telah menerima vaksin.

“Kita akan teruskan pendekatan ini dan saya telah galakkan supaya ada sekatan di peringkat sektor maksudnya sektor perkhidmatan awam, swasta dan sebagainya sebelum kita memikirkan langkah yang lebih menyeluruh seperti mewajibkan dari segi undang-undang untuk menerima vaksin,” katanya ketika menggulung perbahasanĀ Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di sini hari ini.

Justeru, Khairy berharap dengan adanya sekatan kebebasan itu, ia adalah cara lebih berhemah daripada kerajaan meletakkan undang-undang memaksa kumpulan terbabit mengambil vaksin.

“Saya ingin melaporkan bahawa lebih 95 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia telah sekurang-kurangya mendapat dos pertama (vaksin), maksudnya jumlah yang enggan menerima vaksin ini sangat kecil, namun demikian kita akan terus pujuk mereka untuk mendapat vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi penjelasan kepada Senator Datuk Razali Idris yang mahu tahu cara berhemah digunakan kerajaan berdepan kumpulan antivaksin.

Sementara itu, berhubung cadangan supaya kad khusus vaksinasi diwujudkan bagi komuniti Orang Asli, Khairy berkata tiada keperluan untuk perkara itu kerana kad vaksin sedia ada boleh menjadi bukti sama seperti sijil vaksinasi digital untuk mereka masuk ke mana-mana premis.

“Semua penerima vaksin akan menerima kad vaksin mengikut jenis vaksin yang diterima semasa proses pemberian vaksin. Kad vaksin ini diberikan kepada semua penerima vaksin termasuk masyarakat Orang Asli serta kepada orang yang tidak memiliki akses kepada peranti digital atau Internet.

“Kad ini menyimpan maklumat yang sama seperti yang terdapat dalam sijil digital aplikasi MySejahtera. Maklumat yang didapati dalam kad vaksin adalah nama, identiti penerima vaksin, tarikh vaksinasi dos satu dan dua, nama vaksin, nombor kelompok dan tarikh luput vaksin,” katanya.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan