Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Mangsa jenaka lucah jurulatih, Khairy Jamaluddin dan Faizal Azumu sokong pendedahan Pandelela

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 21 Okt : Dua Menteri tampil menyatakan sokongan terhadap pendedahan mengejutkan yang dibuat oleh ratu terjun negara, Dato Pandelela Rinong yang mendakwa beliau pernah menjadi ‘mangsa’ jenaka lucah oleh jurulatihnya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, isu rogol bukanlah perkara yang boleh dijadikan bahan gurauan.

” Ia (gurauan rogol) tidak boleh diterima di mana – mana. Keselamatan atlet menjadi keutamaan,” ciap beliau menerusi Twitter hari ini.

Pandelela, pemenang pingat perak dan gangsa di Sukan Olimpik pagi tadi menerusi Twitternya mendedahkan mempunyai pengalaman dengan seorang jurulatih yang gemar membuat lawak lucah.

Tulisnya, setiap kali jurulatih berkenaan melakukan perbuatan itu, beliau hanya mampu mendiamkan diri atau sekadar memberikan senyuman palsu kerana berasa takut.

” Pernah sekali kerana tidak tahan (gurauan lucah), saya menegur perbuatannya tetapi selepas itu saya dibuli. Tujuh tahun kemudian, dia buat kes rogol,” tulisnya.

Menyambung luahannya, Pandelela berkata, saat yang menyedihkan dalam tempoh tujuh tahun itu ialah apabila jurulatih berkenaan ‘membuat hal’ pada setiap tahun namun barisan atlet tidak mampu berbuat apa -apa kerana perbuatan itu ‘dilindungi’ oleh seorang Ketua Jurulatih.

” Pengajarannya, kita memerlukan pemimpin yang mampu membetulkan kesilapan berbanding memejam mata terhadap perbuatan jahat seseorang dan semua mangsa perlu bangkit melawan,”katanya.

Pandelela berkata, dia dan rakan-rakan bernasib baik kerana dilindungi oleh persatuan ketika mereka berdepan saat sukar itu.

Memberikan pandangan, Pandelela berkata, kadang – kala jangan terlalu menyanjung seseorang hanya berdasarkan pencapaian sebaliknya perlu memeriksa latar belakang terlebih dahulu.

Khairy Jamaluddin yang ketika isu berkenaan melanda memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan turut membalas ciapan pemenang pingat emas Sukan Komenwel itu.

Beliau kemudian mengimbas kembali tindakan beberapa wartawan sukan yang mengkritik perubahan dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan terhadap struktur kejurulatihan pasukan terjun negara ketika isu itu melanda.

” Terima kasih Lela kerana membangkitkan perkara ini. Saya akan membuat keputusan sama pada setiap masa,” ciap Khairy Jamaluddin. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan