Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

JKNK rampas ubat, kosmetik tidak berdaftar bernilai RM1.8 juta

KOTA BHARU, 21 Okt — Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) merampas pelbagai jenis ubat tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dan produk kesihatan yang dicemari racun berjadual bernilai RM1.8 juta di negeri itu sejak awal tahun ini hingga September lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata rampasan dilakukan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) yang sentiasa memandang serius mengenai kegiatan pengilangan, pengedaran dan penjualan produk kesihatan khususnya ubat tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dan ubat campur palsu. 

“Terbaharu, semalam kita (JKNK) menyerbu empat premis di sekitar Kota Bharu yang menjalankan perniagaan secara dalam talian menerusi platform e-dagang. 

“Operasi diketuai Ketua Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Kelantan Norma Zakaria berserta 20 Pegawai Penguatkuasa Farmasi dan tiga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Zaini berkata operasi itu merampas 293 produk tidak berdaftar, lapan kosmetik tidak bernotifikasi, empat produk disyaki mengandungi racun berjadual serta lapan peranti digital dipercayai digunakan bagi penjualan secara dalam talian dengan kesemuanya dianggar bernilai RM720,402.

Beliau berkata penjual dan pengedar produk-produk tidak berdaftar serta kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan (KKM) diberi amaran supaya menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk tersebut dengan serta-merta. 

Katanya individu yang disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat pula boleh didenda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Menurut Dr Zaini, penggunaan ubat yang tidak berdaftar boleh memberi pelbagai kesan buruk seperti kerosakan buah pinggang dan organ dalaman manakala penggunaan kosmetik yang tidak bernotifikasi mendedahkan pengguna kepada kosmetik yang dicemari racun berjadual seperti merkuri, tretinoin dan hidrokuinon.

Penggunaan racun berjadual tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh mengakibatkan kulit menjadi kemerahan, hipersensitif dan meningkatkan risiko kanser kulit, katanya.

“Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membuat pembelian secara dalam talian memandangkan pada era teknologi yang sangat canggih ini semua produk dapat dibeli dengan hanya menekan aplikasi di telefon pintar.

“Pengguna boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dan kosmetik dengan melayari https://www.npra.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status secara percuma melalui Play Store, App Store dan Huawei App Gallery,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm, JKNK

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan