MALAM tadi, ‘kecoh’ bertebaran berita mengenai kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12.
Portal – portal berita tempatan berlumba-lumba memetik sumber masing – masing yang ‘boleh dipercayai’ untuk menambah kredibiliti kepada perkhabaran berkenaan.
Hari ini mungkin akan ada perkhabaran rasmi mengenai perkara itu namun sejauh mana, tidak dapat dipastikan kerana pemimpin politik setempat mengambil pendekatan mengunci rapat mulut, enggan mengiyakan atau menafikan.
Berdasarkan pengalaman penulis berdepan pra pengumuman pembuburan sidang DUN di beberapa negeri bagi memberi laluan kepada PRN atau Pilihan Raya Umum (PRU), lazimnya itulah pendekatan yang diambil oleh pemimpin politik.
Sama ada mereka sendiri berdebar atau mahu terus ianya menjadi tanda tanya di kalangan pengundi.
Kita letak ke tepi dahulu soal akan ada pengumuman rasmi pada hari ini atau sebaliknya kerana lebih 1.2 juta pemilih berdaftar (sehingga tahun lalu) sudah bersedia ‘terlibat’ dalam PRN yang memiliki kerusi terbanyak di Malaysia.
Mengimbau sejarah, Sarawak mula mengadakan PRN pertama pada 1969 dengan yang terakhir pada 2016 di mana Barisan Nasional (BN) kini menjadi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar apabila menguasai 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
GPS yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak(PRS) dan Parti Demokratik Progresif (SPDP) pastinya mahu meneruskan momentum kemenangan dan seterusnya membentuk kerajaan baharu bagi meneruskan khidmat bakti kepada rakyat.
Walaupun jenama GPS masih ‘baharu’, namun kekuatan yang dimiliki bukan calang – calang kerana mereka sangat berpengalaman di Sarawak.
Pada era GPS menjadi pembangkang dalam Dewan Rakyat di peringkat Persekutuan, pemimpinnya mengambil pendekatan untuk keluar dari BN, langkah yang dilihat penganalisis politik bertujuan untuk menstabilkan politik negara.
Walaupun ‘bersendirian’ dalam Dewan Rakyat ketika itu, penulis masih ingat kelantangan beberapa pemimpin GPS menyanggah barisan Menteri Pakatan Harapan ketika itu, bak kata orang Semenanjung ‘panas jugalah’ perbahasan Dewan.
Berbalik kepada politik Sarawak, di pihak pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (PAN), Parti Reformasi Sarawak dan Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru pastinya turut mengintai peluang.
Apa sahaja pengumuman hari ini, dari N1 Opar hingga ke N82 Bukit Sari sudah bersedia.
Namun demikian, apa yang lebih penting ialah kestabilan dan keharmonian Sarawak yang menjadi tunjang kekuatannya selama ini, harus dipertahankan.!