Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Melaka ‘curi’ tumpuan dari Sarawak menjelang PRN

ByFirdaus Ismail

KETIKA seluruh negara sedang menantikan pengumuman tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, secara tiba – tiba politik Melaka dipukul ‘ombak besar’ yang telah meruntuhkan pentadbiran kerajaan negeri.

Plotnya bergerak laju apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan bagi membolehkan PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon PRN Melaka pada 8 November depan manakala hari pembuangan undi pada 20 November , genap sebulan daripada sekarang.

Melaka , pemegang status Tapak Warisan Dunia UNESCO, puluhan bangunan sejarah yang memayungi pusat bandar, seleksi makanan tempatan yang lazat dan deretan beca berwarna warni yang sering menjadi tarikan pelancong , sebenarnya jika diamati bukanlah negeri yang ‘panas’ apabila bercakap soal politik.

Bagaimanapun, situasi damai itu mula berubah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila negeri Hang Tuah itu yang selama ini menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) berjaya ditawan oleh Pakatan Harapan (PH).

Namun demikian, pentadbiran Adly Zahari selaku Ketua Menteri juga tidak bertahan lama apabila PH tumbang pada Mac 2020 selepas Bersatu keluar daripada gabungan itu dan membentuk Perikatan Nasional (PN) dengan wakil BN mengepalai pentadbiran baharu kerajaan negeri.

Sejak tahun lalu juga, DUN mula panas kerana setiap kali sidang berlangsung, sering tercetus pertelingkahan di kalangan wakil rakyat sehingga terpacul perkataan kesat, maki hamun dan cabar mencabar, sesuatu yang tidak berlaku sebelum ini.

Panas berpanjangan yang diharapkan daripada gabungan PN untuk terus mentadbir Melaka sehingga sekurang -kurangnya pada PRU 15 tidak kesampaian.

Pengakuan empat wakil rakyat kerajaan negeri iaitu Datuk Seri Idris Haron (ADUN Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor); Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) bahawa mereka tidak lagi menyokong pentadbiran Datuk Seri Sulaiman Md Ali selaku Ketua Menteri menjadi titik tolak Melaka menjadi negeri kedua terpaksa melaksanakan PRN selepas Sabah pasca PRU-14.

Reaksinya berbeza, bagi pendukung konsep demokrasi berparlimen, mereka meraikan keputusan memberikan rakyat untuk menentukan mandat baharu kepada pihak yang lebih layak.

Pakar-pakar kesihatan awam pula menyuarakan kebimbangan kerana kita semua sedia maklum ketika ini kes jangkitan harian COVID-19 masih berlegar di sekitar angka ‘ribu -ribu’ sehari.

Mereka yang ‘menyokong’ PRN pula menghujah bahawa situasi PRN Melaka tidak boleh disamakan dengan Sabah kerana ketika itu negara masih belum memulakan program vaksinasi.

Apa sahaja alasannya, hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah rakyat telah diseret ke kemelut politik. Sila scroll media sosial, bacalah reaksi rakyat Melaka telah menghamburkan amarah mereka terhadap ahli-ahli politik yang sering bikin onar.

Di Sarawak, punca PRN diadakan bukan kerana lompat melompat wakil rakyat sebaliknya kerana tempoh DUN telah matang selepas PRN pada 2016. Sepatutnya DUN Sarawak dibubarkan pada 7 Jun lalu namun tertangguh disebabkan Proklamasi Darurat.

Berikutan itu, semua ADUN Sarawak kekal sehingga DUN dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Apapun , besarlah menjadi harapan rakyat agar kedua-dua PRN dapat berlangsung dengan selamat dengan pematuhan standard operasi prosedur (SOP) yang tinggi di kalangan calon, jentera kempen dan peraih undi.

Kita tidak mahu PRN menjadi titik panas kepada tercetusnya gelombang COVID yang sekali lagi menghumban rakyat ke lembah derita. Ahli politik berkhidmat untuk kebajikan rakyat bukan sebaliknya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan