KUALA LUMPUR, 17 Okt : Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sedang bekerjasama dengan Polis Persekutuan Australia (AFP) untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung penahanan seorang rakyat Malaysia kerana menyeludup dadah dianggarkan bernilai RM431.8 juta ke negara berkenaan baru-baru ini.
Pengarah JSJN, Datuk Razaruddin Husain berkata, tindakan segera akan diambil bagi memastikan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah yang menjadi ancaman negara dapat dibanteras.
” Media telah melaporkan bahawa seorang rakyat Malaysia ditahan oleh pihak berkuasa Australia kerana cuba menyeludup masuk 450 kilogram dadah jenis Heroin ke Australia.
” Segala tindakan perlu akan diambil untuk memastikan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah yang menjadi ancaman negara dapat dibanteras,” katanya dalam kenyaaan media hari ini.
Media negara berkenaan melaporkan AFP menjumpai dadah dalam kontena bersama -sama seramik yang tiba di Melbourne pada 29 September lepas.
Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Australia, Krissy Barret berkata, walaupun barangan berkenaan tiba dari Malaysia , namun pihaknya masih menyiasat ‘tempat asal’ bekalan dadah yang banyak itu diperolehi.
ABC News pula melaporkan lelaki berkenaan telah dihadapkan di Mahkamah Majistret Melbourne pada 14 Oktober lepas dan dijadualkan akan dituduh semula pada Januari 2022. -TVS