Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Dua beradik didakwa ugut bunuh, cederakan Pengurus Restoran

IPOH, 15 Okt — Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini masing-masing atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan mencederakan seorang pengurus restoran, minggu lepas.

S. Gunasilan, 35, dan kakaknya S. Eswari, 42, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab dan Majistret Khir Nizam Jemari.

Mengikut pertuduhan, Gunasilan yang merupakan seorang penganggur didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap K. Shanmuga Priya, 38, dengan mengugut untuk membunuhnya di Restoran Khalisa di Jalan Raja Perempuan Mazwin, di sini pada kira-kira 3.10 petang, 5 Okt lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Mohd Khazali Yin yang mewakili Gunasilan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya itu tidak bekerja selain perlu menjaga bapa berusia 68 tahun yang menghidap penyakit darah tinggi dan diabetes serta ibu saudara berusia 61 tahun yang mempunyai penyakit jantung.

Nur Melati Diana membenarkan Gunasilan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan menetapkan 29 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azhar.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Eswari yang merupakan bekas pekerja restoran terbabit didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa sama di tempat, masa dan hari yang sama.

Bagi pertuduhan tersebut, ibu tunggal kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Khir Nizam membenarkan Eswari diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amalina Harun manakala Eswari diwakili peguam Mahinderjit Singh dan Mohd Khazali.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan

ByBernama-
ByBernama-
ByBernama-