Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Rangka manusia dianggar berusia 5,000 hingga 10,000 tahun ditemui di Perlis

ByFirdaus Ismail

PERLIS, 13 Okt : Eksplorasi arkeologi yang dilakukan oleh Jabatan Warisan Negara berjaya menemui rangka manusia pra sejarah yang dianggarkan berusia antara 5,000 hingga 10,000 tahun di Bukit Keteri.

Pesuruhjaya Warisan, Mohd. Azmi Mohd. Yusof berkata, kajian di Gua Semadong pula berjaya menemukan lakaran dinding gua zaman proto sejarah membabitkan imej berupa gajah, lembu, ular, manusia dan mawas yang dianggarkan wujud sejak abad kelima hingga 10 masihi.

Katanya, penemuan berharga di dua lokasi itu membuktikan bahawa bahagian formasi batu kapur di Perlis pernah diduduki oleh manusia sejak ribuan tahun lalu.

“Kita menemui rangka manusia yang berselerak di permukaan tanah dan hampir tidak dapat dikenalpasti jenis tulang yang berkemungkinan milik haiwan yang dikebumikan bersama manusia ketika kajian pada Julai tahun lepas. Disebabkan pelbagai halangan termasuk perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lawatan semula ke tapak hanya dapat dilakukan sekarang,” katanya.

Mohd. Azmi menunjukkan antara serpihan tulang manusia dianggarkan berusia ribuan yang ditemui di Bukit Keteri, Perlis.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Asmaiza Ahmad di kawasan penemuan tengkorak dan lukisan purba di Gua Semadong dan Bukit Keteri hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azmi penemuan berkenaan hanya ‘di bahagian luar’ tempat kajian dan pihaknya akan bekerjasama dengan universiti tempatan yang mempunyai kepakaran melakukan penyelidikan berkenaan penemuan bukti pra sejarah.

Pada masa sama, beliau memohon agar orang ramai mematuhi perundangan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (AWK 2005) (Akta 645) dengan melaporkan segera sebarang jumpaan bersejarah kepada Pegawai Daerah atau Pesuruhjaya Warisan seperti yang termaktub dalam Seksyen 47 AWK 2005. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan